Tujuh individu masih direman berkait tangkapan lelaki warga Israel

Oleh – Syeikh Baran


Tujuh individu masih direman berkait tangkapan lelaki warga Israel
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain

Seramai tujuh individu masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam senjata api serta lebih 200 peluru di Jalan Ampang, di sini, pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, enam lagi individu yang ditahan berkaitan kes berkenaan pula sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan dilengkapkan.



“Lelaki warga Israel berkenaan mengaku tidak bersalah atas pendakwaan dibuat terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 158 peluru.

“Walaupun dia sudah dituduh atas pemilikan senjata api, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar kerana terdapat suspek yang boleh membantu mengetahui motif belum ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai tiada tawaran ikat jamin terhadap lelaki terbabit, beliau berkata, orang kena tahan (OKT) itu akan ditahan dalam penjara di bawah kawalan pihak penjara sehingga perbicaraan selesai.

“Pertuduhan ke atas OKT ini adalah bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.



“Ini bermakna OKT akan ditahan dalam penjara (di bawah kawalan pihak Penjara) sehingga perbicaraan selesai,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lelaki warga Israel itu, Avitan Shalom, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 158 butir peluru.

Pada 27 Mac lalu, lelaki itu warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol serta 158 butir peluru dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB) mendapati lelaki itu memasuki negara ini menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu.



Lelaki yang menggunakan pasport Perancis itu didakwa merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Susulan itu, polis menahan suami isteri warga tempatan yang didakwa menjual senjata api kepada warga Israel itu sebelum mereka dibicarakan di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, Isnin lalu.

Bagaimanapun, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, dan isterinya Syarifah Faraha Syed Husin, 41, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Sharifah Hascindie Syed Omar.

Sumber – HARIAN METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading