Risiko perang melonjak, Jordan tutup ruang udara
Oleh – Syeikh Baran
Jordan menutup ruang udara negara berkenaan kepada semua penerbangan keluar dan masuk buat sementara waktu bermula semalam, lapor laman berita Al Mamlaka.
Dua pesawat milik syarikat penerbangan Fly Dubai yang dalam penerbangan menuju ke Israel terpaksa berpatah balik ke Emiriyah Arab Bersatu susulan penutupan tersebut, demikian menurut saluran televisyen Channel 12.
Suruhanjaya Kawal Selia Penerbangan Awam Jordan berkata, penutupan ruang udara dilakukan untuk menjaga keselamatan penerbangan awam di negara itu ketika risiko konflik melonjak di Asia Barat.
Suruhanjaya berkenaan memutuskan untuk menutup ruang udara Jordan selepas melakukan penilaian risiko keselamatan aviasi berdasarkan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Keputusan itu bagaimanapun akan disemak dan dikemas kini mengikut perkembangan semasa, kata suruhanjaya sama dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Al Mamlaka melaporkan bahawa pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Penerbangan Awam Jordan, Haitham Misto berkata, gangguan terhadap trafik udara Jordan telah menjejaskan Sistem Kedudukan Global (GPS) menyebabkan pesawat di kawasan itu menggunakan sistem navigasi alternatif. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE