2 sahabat jadi sindiket edar dadah ditahan

Oleh – Syeikh Baran


2 sahabat jadi sindiket edar dadah ditahan
Razlam ketika ditemui pada sidang akhbar di IPD Timur Laut, petang tadi.

Dua rakan yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dicekup polis dalam dua operasi berasingan di sekitar pusat bandar, Khamis lalu.

Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat hampir dua kilogram dan berjumlah lebih RM60,000.



Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 3.30 petang, Khamis lalu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun di depan kompleks kedai makan di pusat bandar.

“Hasil daripada tangkapan tersebut, pihak polis telah merampas satu paket plastik lutsinar berisi dadah ketamin.

“Susulan daripada penangkapan suspek pertama, polis kemudian menahan seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun di sebuah rumah ibadat di Macallum, kira-kira pukul 8.50 malam, pada hari sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil serbuan ini, pihak polis berjaya merampas antaranya 50 batang rokok yang setiap satunya berisi campuran daun tembakau dan bahan disyaki dadah jenis ‘mushroom’.



”Menerusi soal siasat, suspek telah membawa polis ke sebuah rumah yang disewa suspek di Macallum dan polis menemui pelbagai jenis dadah disimpan di sini. Antara dadah yang ditemui adalah jenis MDMA, ketamin, rokok berisi campuran tembakau dan mushroom, pil esktasi dan dadah jenis ganja serta dadah mushroom disimpan di rumah ini,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek saling mengenali dan mereka memproses sendiri dadah MDMA serta lain-lain untuk dijual bagi pasaran tempatan.

“Hasil risikan mendapati sindiket ini telah bergiat aktif sejak awal tahun ini dan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 1,653 orang

”Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek pertama mendapati suspek positif dadah dan mempunya rekod jenayah lampau manakala suspek kedua negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah.



”Polis turut menyita sebuah motosikal yang dianggarkan bernilai RM8,000 dan nilai sitaan dan keseluruhan rampasan berjumlah RM68,086. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Razlam berkata, seorang pekerja pusat hiburan ditahan Sabtu lalu di dalam sebuah pusat hiburan di pusat bandar kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah.

”Suspek berusia 26 tahun ini didapati aktif mengedar dadah sejak Februari tahun ini dan ketika ditahan polis menemui sejumlah dadah bernilai kira-kira RM4,000 bersamanya.

”Polis turut menyita kenderaan mewah milik suspek iaitu kereta jenis BMW X4 bernilai lebih RM100,000 dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 April lalu bagi membantu siasatan,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading