Pembantu kedai didakwa ugut, perdaya dan miliki bahan lucah

Oleh – Syeikh Baran


Pembantu kedai didakwa ugut, perdaya dan miliki bahan lucah
TERTUDUH (dua dari kiri) keluar dari mahkamah selepas dituduh di Mahkamah Majistret Kuantan di Kuantan hari ini.

Seorang pembantu kedai jualan komputer didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdaya, melakukan ugutan jenayah dan memiliki imej lucah pada April lalu.

Tertuduh, Loh Yin Teng, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Raja Nurshuzianna Shakila Raja Mamat dan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.



Berdasarkan pertuduhan pertama di Mahkamah Majistret 1, tertuduh pada pukul 8.19 pagi hingga pukul 10.02 malam pada 8 April hingga 13 April lalu di Jalan Haji Ahmad Kuantan, di sini didapati dengan curang memperdayakan seorang individu bagi urusan mendapatkan telefon pintar model iPhone 11.

Tertuduh didakwa telah mendorong individu terbabit menyerahkan wang ke dalam akaun berbeza sebanyak 12 kali transaksi berjumlah RM2,280.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 14 April lalu kira-kira pukul 2.41 petang di Taman Sungai Karang, di sini telah melakukan ugutan jenayah kepada individu sama untuk membawa Ahlong bernama Eric dengan niat mahu menyebabkan ketakutan kepada mangsa bagi mendapatkan wang.

Di Mahkamah Majistret 2 pula, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada 15 April lalu kira-kira pukul 12.15 tengah malam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, didapati memiliki sekeping gambar bogel milik individu sama yang ditemui di dalam telefon bimbit jenis Realme 6 berwarna biru dan di dalam unit pemprosesan pusat (CPU) jenis Tecware berwarna hitam milik tertuduh.



Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh antara 7 Januari 2023 hingga 10 Jun 2023 kira-kira pukul 1.17 pagi hingga 7.41 petang di Jalan Haji Ahmad Kuantan, di sini didapati memperdaya seorang lagi individu berbeza dalam urusan mendapatkan produk Coway dan telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang dengan memasukkan ke dalam enam akaun berbeza sebanyak tujuh kali transaksi berjumlah RM1,435.

Bagi pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (a) Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aini Adila Mohd Faizal di Mahkamah Majistret 1 dan Timbalan Pendakwa Raya Izuain Farhana Ahmad di Mahkamah Majistret 2.



Tertuduh diwakili peguam Syafiqa Syeba, Mohamed Azhari Matiasin dan Mohd Azlan Mohd Arish @ Arshad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh ditawarkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin bercagar bagi setiap pertuduhan pertama, kedua dan keempat manakala RM6,000 pagi pertuduhan ketiga.

Bagaimanapun peguam tertuduh meminta agar wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh yang memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan perlu menyara kedua orang tuanya.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan pertama, ketiga dan keempat dan RM4,500 bagi pertuduhan kedua selain tidak boleh mengacau gangu mangsa dan saksi pendakwaan dengan jumlah keseluruhan ikat jamin adalah sebanyak RM15,000.



Mahkamah menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading