Saya perlukan telefon untuk panggil peguam

Oleh – Syeikh Baran


Saya perlukan telefon untuk panggil peguam
Anggota polis mengiringi Hafizul (tengah) untuk didakwa atas tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

“Saya perlukan panggilan telefon untuk panggil peguam.”

Itu kata-kata Hafizul Hawari, 38, dalam rayuannya selepas mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad atas tujuh pertuduhan melibatkan kes senjata api, peluru, mercun, memiliki tiga MyKad individu lain dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada sebuah kereta di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.



Hafizul yang kelihatan sugul dalam rayuannya turut menyatakan bahawa dia masih tidak dapat membuat sebarang panggilan telefon setakat ini.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki yang merupakan pengurus di syarikat agensi pelancongan itu didakwa memiliki senjata api jenis pistol bertulis Glock 19 Austria, Made In Turkey yang menyalahi undang-undang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum sebanyak enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 33 butir amunisi atau peluru jenis PMC 380 AUTO tanpa lesen sah atas kesalahan dan dituduh mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.



Bagi pertuduhan ketiga, Hafizul didakwa memiliki satu bungkusan plastik mengandungi mercun bola tanpa permit yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Mengikut pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping MyKad milik individu lain berusia 29, 34 dan 35 tahun yang boleh di hukum di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Bagi pertuduhan ketujuh, Hafizul didakwa memandu sebuah kereta jenis Honda Civic dengan mempamerkan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini kira-kira pukul 2 petang pada 15 April lalu.



Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh atas ketujuh-tujuh pertuduhan dan memohon Hafizul untuk menjalani tahanan reman di Penjara Sungai Buloh kerana terlibat dalam kes lain di Selangor.

Nik Habri bagaimanapun tidak membenarkan jaminan bagi pertuduhan tiga kes melibatkan senjata api, memiliki peluru dan memiliki mercun bola, namun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 untuk empat pertuduhan lain.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, Selangor sepanjang prosiding kes selain menetapkan 23 Mei depan untuk lantikan peguam, sebutan semula kes dan serahan dokumen.



Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading