Ketua Hamas tuduh Israel sabotaj rundingan gencatan senjata

Oleh – Syeikh Baran


Ketua Hamas tuduh Israel sabotaj rundingan gencatan senjata
Penduduk Palestin yang dipindahkan berkumpul di halaman hospital Al-Shifa Gaza pada 10 Disember 2023, ketika pertempuran berterusan antara Israel dan kumpulan militan Hamas di wilayah Palestin. – Foto AFP

Ketua Hamas yang berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh menuduh Israel mensabotaj rundingan gencatan senjata selepas serbuan rejim Zionis ke atas hospital terbesar Gaza, yang menurut Israel menyasarkan pejuang Palestin.

Tentera Israel berkata, puluhan pejuang Palestin terbunuh pada Isnin, manakala ratusan lagi ditahan ketika serbuan ke atas Hospital Al-Shifa di kota Gaza, sebuah kompleks yang sesak dengan pesakit dan mangsa yang kehilangan tempat tinggal.



“Tindakan anggota tentera Zionis di Kompleks Perubatan Al-Shifa mengesahkan niat mereka untuk menghalang pemulihan kehidupan di Gaza dan membongkar aspek penting kewujudan manusia.

“Penyasaran sengaja terhadap pegawai polis dan pegawai kerajaan di Gaza menggambarkan usaha mereka untuk menyemai kekacauan dan mengekalkan keganasan dalam kalangan rakyat. Ini juga mendedahkan usaha pemimpin pendudukan untuk mensabotaj rundingan yang sedang berjalan di Doha,” kata Haniyeh.

Rundingan untuk gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan sedang dijalankan di Doha dan cadangan balas tidak lama lagi boleh dikemukakan kepada Hamas, kata Qatar pada Selasa.

Ketua Mossad, David Barnea terbang untuk berbincang dengan Perdana Menteri Qatar dan pegawai Mesir pada Isnin, yang pertama sejak pengantara gagal mendapatkan gencatan senjata sebelum bulan suci Ramadan, yang bermula minggu lalu.



Israel sebelum ini berikrar membenarkan penduduk Palestin yang bersesak di selatan Gaza keluar sebelum pihaknya melakukan serangan darat ke atas Rafah, namun keupayaan melaksanakannya diragui.

Beberapa pakar menyatakan mereka sangsi dengan hasrat Israel itu dan memberi amaran rancangan membawa orang awam di Rafah keluar dari bahaya adalah suatu perkara yang sangat mustahil.

Kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza berada di hujung paling selatan wilayah itu disekat Laut Mediterranean di bahagian barat, sementara selatan dan timur sempadannya ditutup, manakala tentera Israel bersedia menggempur dari utara.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertegas menghantar tentera ke Rafah untuk menumpaskan pejuang Hamas di kawasan yang bersempadan dengan Mesir dan Israel. – AFP



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button