Debaran 395,870 calon dapat keputusan SPM hari ini

Oleh – Syeikh Baran


Debaran 395,870 calon dapat keputusan SPM hari ini
Calon SPM 2023 boleh mendapatkan keputusan peperiksaan melalui SMS mulai hari ini. – Gambar hiasan

Seramai 395,870 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan mene­rima keputusan masing-masing hari ini.

Jumlah tersebut melibatkan kesemua calon yang telah menduduki peperiksaan di 3,340 pusat peperiksaan di seluruh negara sebelum ini.



Walaupun kali ini keputusan SPM diumumkan dalam suasana cuti persekolahan, namun ibu bapa atau calon mempunyai pilihan untuk membuat semakan keputusan.

Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini memaklumkan semua calon SPM 2023 boleh menyemak keputusan masing-masing bermula 10 pagi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan secara dalam talian mulai pukul 10 pagi ini.

Semakan melalui SMS boleh dibuat dengan menaip SPM NoKP AngkaGiliran dan hantar ke 15888.

Sementara itu, bagi mereka yang tiada akses capaian boleh hadir sendiri ke sekolah bagi mendapatkan keputusan.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tarikh pengumuman keputusan SPM dikekalkan pada hari ini seperti yang ditetapkan KPM.



Beliau berkata, pemilihan tarikh tersebut tidak akan menjejaskan perancangan cuti guru, malah akan memberi masa secukupnya buat pelajar lepasan SPM untuk membuat permohonan kemasukan ke institut pengajian tinggi.

Malah katanya, guru-guru yang telah merancang percutian dibenarkan bercuti kerana keputusan SPM boleh diperolehi secara dalam talian dan SMS.

Selain itu katanya, pelajar yang tidak mempunyai akses online boleh mendapatkan keputusan di mana-sekolah terdekat.

Sebelum ini, Kesatuan Per­khidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memohon kepada KPM supaya keputusan SPM dikeluarkan sebelum cuti sekolah yang bermula Sabtu.

NUTP mendakwa guru-guru sudah membuat perancangan awal sempena cuti persekolahan.



Bagaimanapun KPM tetap dengan keputusan itu dengan alasan SPM boleh disemak melalui SMS dan slip diambil apabila sekolah dibuka semula.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button