Enam MP BERSATU sokong Anwar bakal hilang kerusi

Oleh – Syeikh Baran


Enam MP BERSATU sokong Anwar bakal hilang kerusi
Muhyidin – Anwar

BERSATU kekal dengan pendirian enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal kehilangan kerusi berdasarkan pindaan perlembagaan parti itu yang sudah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata nasib keenam-enam mereka akan diketahui tidak lama lagi selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu yang akan dipengerusikannya dalam masa terdekat.



Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pindaan perlembagaan BERSATU menjelaskan, tindakan Ahli Parlimen terbabit jelas menyebabkan keahlian mereka gugur secara automatik, sekali gus kerusi yang diduduki menjadi kosong dan pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.

“Perlembagaan parti yang kita pinda dan diluluskan oleh ROS menyatakan kalau hal sebegini berlaku keahlian itu terhenti, maka dia tidak jadi ahli, tergugur begitu sahaja secara automatik.

“Kalau mengikut Perlembagaan Persekutuan dan akta antilompat parti, kerusi itu sudah kosong tapi proses itu adalah dengan kita mengambil tindakan seperti disebutkan Datuk Hamzah (Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen BERSATU Sabah di sini, hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas sama ada PRK perlu diadakan di enam kerusi Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Perdana Menteri selepas pindaan perlembagaan parti itu diluluskan ROS.



Terdahulu, Hamzah berkata, selepas menerima kepastian daripada pihak ROS mengenai kelulusan pindaan Perlembagaan BERSATU, jawatankuasa kecil parti itu bermesyuarat baru-baru ini bagi membincangkan tindakan yang akan dikenakan terhadap ahli yang melanggar perlembagaan parti, termasuk enam Ahli Parlimen terbabit.

Hamzah berkata, ia akan disusuli mesyuarat MPT dipengerusikan Muhyiddin bagi mengesahkan keputusan dibuat jawatankuasa kecil sebelum tindakan diambil.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, tindakan itu kemudiannya akan dimaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat sebelum pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi bagi memberi laluan kepada PRK diadakan.

“Itu pandangan kami dan ia sebab pindaan terhadap perlembagaan parti sudah diluluskan oleh ROS, jadi kita hanya menunggu masa, mungkin tidak berapa lama lagi hari itu akan berlaku,” katanya.



Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button