Lapan remaja dicekup tunggang motosikal berbahaya

Oleh – Syeikh Baran


Lapan remaja dicekup tunggang motosikal berbahaya
Antara dua daripada lapan remaja yang ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dan membuat bising di lokasi tersebut.

Tindakan lapan remaja menunggang motosikal dengan aksi berbahaya dan membuat bising di Persiaran Perbandaran di sini, memakan diri apabila dicekup polis awal pagi tadi.

Kesemua lelaki berusia 17 hingga 23 tahun itu ditahan anggota Unit Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam operasi sehingga pukul 3 pagi.



Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, penahanan itu dilakukan selepas mendapati sekumpulan remaja menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dan membunyikan ekzos sehingga menimbulkan bunyi bising di lokasi berkenaan.

“Justeru, polis menyita lapan motosikal ditunggangi mereka bagi tindakan lanjut. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd. Iqbal, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 41 saman kepada penunggang lain atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian ekzos, tiada lesen memandu, cermin sisi dan nombor plat.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button