Tiada calon dijangka peroleh majoriti selesa

Oleh – Syeikh Baran


Tiada calon dijangka peroleh majoriti selesa
Suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) di pekan Kuala Kubu Baharu. Foto M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

Tiada calon daripada mana-mana parti dijangka memperoleh kemenangan selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Sehubungan itu, Bendahari DAP Selangor, Dr. Ong Kian Ming berkata, kadar keluar mengundi akan menjadi penentu kemenangan bagi kerusi DUN tersebut.



“Peluang untuk calon Pakatan Harapan (PH) adalah 50-50 dan kalau sesiapa menang pun, majoriti di bawah 1,000,” katanya ketika ditemui selepas program Kopitiam Talk di kerling, di sini hari ini.

Difahamkan, kehadiran beliau bukan bertujuan membantu kempen, namun sebaliknya untuk membuat liputan media sempena PRK Kuala Kubu Baharu.

PRK DUN itu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon PH, Pang Sock Tao, calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Untuk rekod, Suruhanjaya menetapkan hari mengundi awal pada 7 Mei manakala hari mengundi pada 11 Mei ini melibatkan seramai 40,226 pengundi berdaftar.



Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Bangi itu berkata, situasi itu disebabkan kebanyakan pengundi bekerja dan menetap di luar Kuala Kubu Baharu.

“Jadi, untuk kempen di minggu kedua ini, bukan sahaja untuk memperkenalkan calon, namun lebih penting ialah apakah (cadangan) parti yang bertanding untuk menarik lebih ramai pulang ke Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei nanti,” jelasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button