Tragedi helikopter TLDM: Henti buat spekulasi nahas
Oleh – Syeikh Baran
Kementerian Pertahanan meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung nahas dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertembung dalam kejadian di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau turut enggan membuat sebarang komen sehingga laporan interim tragedi yang mengorbankan 10 kru itu dilengkapkan pada minggu hadapan.
Katanya, kementeriannya memberi laluan kepada pihak jawatankuasa penyiasat ruang sepenuhnya untuk melengkapkan laporan penuh insiden itu dalam tempoh seperti yang ditetapkan sebelum ini.
“Pihak jawatankuasa penyiasat sedang melakukan tugas mereka, jadi saya taknak ulas apa-apa buat masa ini kerana mungkin apa yang disampaikan akan disalahertikan.
“Laporan itu nanti betul-betul rumusan bersandar fakta, bukan andaian dan ia sangat penting supaya dapat menjaga dan memelihara perjalanan TLDM dan ATM kita,” katanya ketika menghadiri Majlis Aidilfitri Mubarak Johor dan Mesyuarat Agung Mubarak di Ibu Pejabat Perhubungan UMNO negeri, di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan dua pesawat jenis masing-masing jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM bertembung ketika menjalani raptai bersempena sambutan Ulang Tahun Perbarisan TLDM ke-90.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan kepakaran luar negara bagi membantu siasatan punca insiden tersebut.
Sumber – KOSMO! ONLINE