Sindiket seludup diesel ke Pantai Timur tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Sindiket seludup diesel ke Pantai Timur tumpas
NORENA (kanan) menunjukkan tangki yang menyimpan diesel bersubsidi bagi pasaran gelap di luar Melaka. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

Sebuah lori tangki tidak sempat memulakan perjalanan untuk menyeludup masuk 27,000 liter diesel bersubsidi ke Pantai Timur selepas disita dalam serbuan di kawasan perindustrian Krubong di sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 7 petang itu, dua penjaga stor warga Bangladesh berusia 30-an dan seorang lelaki tempatan yang juga pemandu lori berusia 34 tahun turut ditahan.



Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, hasil pemeriksaan di lokasi menemukan tiga lagi buah tangki ‘skid’ berisi keseluruhan 8,000 liter diesel.

Katanya, kesemua bahan bakar itu dipercayai dibeli daripada stesen-stesen minyak sekitar negeri ini menggunakan lori ‘bonded’ atau tertutup sebelum diseludup masuk ke negeri lain.

“Kita telah merampas 35,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM256,000, termasuk yang dibawa di dalam sebuah lori tangki yang dipercayai baru ingin bertolak ke sebuah negeri di Pantai Timur.

“Sindiket ini disyaki telah aktif lebih setahun yang lalu dan ini merupakan tangkapan kes pertama melibatkan kegiatan rentas negeri,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan di kawasan perindustrian Krubong di sini, malam tadi.



Mengulas lanjut Norena berkata, stor tersebut turut dikawal ketat dengan pemasangan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan di luar premis.

“Sebanyak empat CCTV dipasangkan dengan tiga diarahkan ke bahagian luar, di mana kita percaya ia bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa berhampiran stor ini.

“Siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button