Beli diesel di stesen minyak, jual kepada industri secara haram

Oleh – Syeikh Baran


Beli diesel di stesen minyak, jual kepada industri secara haram
KUMAR (tengah) menunjukkan tangki yang diubahsuai sindiket untuk menyeludup diesel bersubsidi dalam sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, Johor Bahru hari ini. Foto BAZLAN IBRAHIM/ KOSMO

Taktik licik sindiket penyeludupan membeli diesel bersubsidi di stesen minyak sebelum dijual kepada industri di sekitar negeri ini tumpas apabila berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua. malam semalam.

Sindiket bertindak licik apabila menggunakan lori tiga tan yang ditutup kanvas bagi mengaburi mata pekerja stesen minyak, sebelum diesel berkenaan disedut ke lima tangki yang disembunyikan di belakang lori bertutup berkenaan.



Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar, berkata, hasil makluman awam dan intipan Unit Risikan Marin (URM) berjaya mendedahkan taktik sindiket berkenaan.

Katanya, pemandu lori berusia 57 tahun yang dipercayai ahli sindiket berkenaan berjaya ditahan dalam serbuan pada pukul 12.05 tengah malam, selepas gagal mengemukakan dokumen sah daripada Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tengah malam semalam.

“Unit URM PPM Wilayah Dua menerima maklumat berkaitan sebuah lori tiga tan mencurigakan di sebuah stesen minyak di kawasan perusahaan Tampoi, di sini, kira-kira pukul 12.05 tengah malam, sebelum intipan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori tiga tan yang bertutup kanvas itu mendapati terdapat lima tangki besar berisi diesel bersubsidi, disembunyikan di bahagian belakang lori itu.



“Pemeriksaan lanjut mendapati lori itu telah mengubahsuai tangki utama mengisi diesel yang boleh diubah serta dilaraskan bagi mengisi lima tangki lain bagi mengaburi petugas stesen minyak,” katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di sini, hari ini.

Kumar berkata, modus operandi yang dilakukan adalah pemandu lori kononnya akan ‘berlakon’ mengisi diesel lori berkenaan sebelum mengubah laras di tangki utama bagi membolehkan diesel subsidi disedut masuk ke lima tangki yang disembunyikan di belakang lori itu.

Ujarnya, hasil pemeriksaan setiap satu daripada lima tangki itu boleh mengisi sehingga 1,000 liter diesel.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan sebanyak 3,000 liter diesel bersubsidi sudah diisi dalam tangki yang disembunyikan itu.



“Pemandu lori berkenaan diserahkan kepada KPDN untuk proses tahanan reman seterusnya disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 12 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau menambah, menerusi siasatan awal, sindiket berkenaan menjual semula diesel bersubsidi berkenaan kepada pemilik industri di sekitar bandaraya ini bagi keuntungan atas angin.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button