Faisal tiada musuh, moga pelaku dapat hidayah

Oleh – Syeikh Baran


Faisal tiada musuh, moga pelaku dapat hidayah
Kira-kira 200 penduduk termasuk barisan kepimpinan Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Homestay Mengkuang Titi, Bukit Mertajam, malam tadi. Foto oleh IQBAL HAMDAN.

Bapa kepada pemain sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim mengharapkan agar pelaku anaknya itu mendapat hidayah daripada Allah dan dibuka pintu hati atas kesilapan besar yang dilakukannya.

Halim Saad, 60, berkata, dia mengharapkan agar anak keempat daripada lima beradik itu sihat seperti sediakala dan dapat meneruskan kariernya dalam dunia bola sepak tanah air nanti.



Menurutnya, dia juga berserah kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengheret si pelaku ke muka pengadilan.

“Saya nak dia (Faisal) kuatkan diri dan teruskan dengan kariernya. Kita pakat-pakat doakannya dan terima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab yang ambil kes ini serta soal siasat mencari semua pelaku.

“Faisal tak ada musuh dengan siapa-siapa sebab dia tak pernah nak berselindung diri, lari daripada orang.

“Saya rasa dia tak ada cemburu atau apa-apa. Dia seorang yang macam saya jugalah. Kadang-kadang kelakar dan friendly (peramah),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang diadakan di Homestay Mengkuang Titi, Kubang Semang, di sini malam tadi.



Majlis tersebut dihadiri seramai 200 penduduk termasuk barisan kepimpinan Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim.

Dalam pada itu, kata Halim lagi, dia sememangnya terkejut dengan kejadian yang berlaku terhadapnya anaknya, namun reda dengan apa yang sudah terjadi.

“Ketika in, hanya isteri dia seorang sahaja yang dibenarkan masuk untuk elak daripada jangkitan kuman. Saya tak mahu dia trauma dan nak jaga emosi serta mentalnya sahaja ketika ini.

“Walaupun orang anggap ini sebagai kifarah dia, saya terima,” tambahnya,” ujarnya.



Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan bahawa Faisal sudah melepasi fasa pertama rawatan apabila balutan pada kepalanya sudah ditanggalkan bagi proses seterusnya, hari ini.

Walau bagaimanapun, pemain itu masih lagi berada dalam pemantauan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta dan belum boleh terdedah kepada orang ramai bagi mengelak sebarang jangkitan kuman sehingga menyulitkan proses pemulihan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button