Pemuda lemas ketika cari cacing
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pemuda yang dilaporkan hilang selepas berkelah bersama tiga rakannya di Air Terjun Lata Bayu, di sini semalam ditemukan mati lemas hari ini.
Mayat mangsa, Muhammad Luqman Zuraidi, 27, ditemui di dasar sungai kira-kira pukul 11.05 pagi tadi oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah. Mangsa difahamkan lemas ketika menyelam kerana ditemui dalam keadaan masih memakai gogal.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa dan tiga rakan pergi berkelah di kawasan air terjun itu pada pukul 11 pagi semalam sebelum hilang.
“Kali terakhir rakan melihat mangsa adalah ketika dia memberitahu mahu pergi mencari cacing untuk memancing.
“Mayat mangsa kemudian berjaya ditemui pada pukul 11.05 pagi tadi yang mana mangsa dipercayai lemas ketika menyelam kerana masih memakai gogal. Mayat mangsa berjaya diusung turun dari lata pada pukul 1.20 petang tadi sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” tambahnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE