Pokok tumbang hampir hempap kereta Ketua Menteri Melaka

Oleh – Syeikh Baran


Pokok tumbang hampir hempap kereta Ketua Menteri Melaka
Ab. Rauf ketika melihat keadaan cermin belakang kereta pengiring polis yang pecah akibat dihempap pokok di Jalan Pinang, Kuala Lumpur hari ini.

Kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang berhadapan Kuwait Bank, di sini petang tadi nyaris menimpa kenderaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Bagaimanapun, beliau dan kenderaan jenis Lexus 350 yang dinaikinya selamat.



Menurut Pegawai Media Ab. Rauf, Shahnor Samsudin, ketika kejadian, rombongan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara sedang melalui kawasan tersebut untuk menghadiri urusan rasmi di ibu kota.

“Rombongan kami (Ketua Menteri) melibatkan sebanyak empat kenderaan baru sahaja tiba dari Melaka. Kejadian (pokok tumbang) itu betul-betul berlaku depan mata. Selang sebuah kereta sahaja.

“Kereta Ketua Menteri terselamat, tetapi kenderaan pengiring polis jenis Proton X70 yang berada hadapan terjejas dalam kejadian pokok tumbang tersebut.

“Setakat ini anggota terselamat, cuma cermin belakang kenderaan pengiring yang pecah. Bahagian belakang Proton X70 turut kemek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.



Tambah Shahnor, sebelum kejadian, dia bersama pegawai yang berada di dalam kenderaan terdengar bunyi kuat seakan-akan objek mahu tumbang.

“Kebetulan ketika kejadian saya dan pegawai sedang berborak tentang pokok tumbang sebab keadaan semasa itu hujan lebat.

“Sekelip mata ia betul-betul berlaku depan mata (pokok tumbang) menimpa kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna merah yang berada di depan kami.

“Walau bagaimanapun, kenderaan itu bukan merupakan rombongan kami.



“Mula-mula panik ingat kenderaan (dinaiki) Ketua Menteri, tetapi alhamdulillah beliau selamat. Kami juga selamat,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button