Sarjan, koperal direman kes terima rasuah

Oleh – Syeikh Baran


 

Dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal direman selama tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima suapan berjumlah RM2,500 daripada seorang kontraktor.



Perintah reman terhadap suspek masing-masing berusia 58 dan 37 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mazana Sinin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sebelum itu, anggota polis terbabit ditahan SPRM Melaka selepas dipercayai menerima rasuah pada malam Isnin lalu.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam di Jasin.

Difahamkan anggota polis itu menerima suapan daripada seorang kontraktor sebagai dorongan bagi tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas dua pekerjanya yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.



Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek dan memaklumkan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button