Bantu pacu penciptaan pekerjaan
Bantu pacu penciptaan pekerjaan
Kuala Lumpur: Kejayaan kerajaan MADANI menarik pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah pada tahun lepas sebanyak RM329.5 bilion bakal mewujudkan limpahan pekerjaan baharu termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat yang secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pendapatan per kapita mereka.
Ini berdasarkan kepada 5,101 projek yang diluluskan pada 2023, yang akan menjana 127,000 pekerjaan baharu yang amat diperlukan terutamanya bagi golongan belia yang baru menamatkan persekolahan, kolej dan universiti.
Apa yang lebih memberangsangkan adalah 57.2 peratus atau lebih separuh daripada pelaburan itu merupakan pelaburan langsung asing (FDI), yang mana jelas membuktikan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi menarik walaupun persaingan sengit serantau, hasil daripada dasar pelaburan kerajaan yang disesuaikan dengan sewajarnya.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai memuji langkah pengurusan ekonomi kerajaan yang membantu Malaysia menarik FDI yang besar dalam sektor pembuatan.
“Dasar kerajaan dan rancangan pembangunan yang disasarkan untuk mengubah Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, mengenal pasti sektor pembuatan sebagai pembawa perubahan utama kepada pertumbuhan yang seterusnya menyediakan pelbagai inisiatif untuk menarik pelaburan dan merangsang penciptaan pekerjaan dalam sektor itu,” katanya kepada Bernama.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Helikopter Yang Bawa Presiden Iran Terhempas
- Isu Penjualan Saham MAHB: Kerajaan Mesti Berikan Penjelasan Yang Jujur
- Gelombang Hijau terbantut ,dijangka malap tidak sampai PRU16.
Tahun ini, kerajaan menjangkakan pertumbuhan minimum 8-10 peratus dalam pelaburan yang diluluskan dari tahun lepas.
Setakat ini bagi tahun ini, Malaysia memperoleh pelaburan bernilai US$2.2 bilion (RM10.5 bilion) daripada gergasi teknologi multinasional Amerika Syarikat, Microsoft, yang komited untuk memperkasakan teknologi negara dengan teknologi awan dan kecerdasan buatan (AI).
Di bawah rancangan 7 tahun sehingga 2030 itu, NIMP akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 3.3 juta orang melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi ketika negara menuju ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan penambahbaikan dalam automasi serta kemajuan teknologi.
Bagi NETR pula, projek pemangkin utamanya yang meliputi enam peralihan tenaga, iaitu kecekapan tenaga (EE), tenaga boleh diperbaharui (TBB), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dijangka menarik pelaburan melebihi RM25 bilion.
Dalam proses itu, ia akan mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bersamaan 10,000 gigagram karbon dioksida setiap tahun.
Soh berkata penciptaan pekerjaan dalam sektor pembuatan berkembang pesat sejak beberapa tahun ini hasil gabungan faktor termasuk kemajuan teknologi, peralihan dalam dinamik perdagangan global dan dasar kerajaan yang mesra perniagaan.
“Penyertaan Malaysia dalam pelbagai perjanjian perdagangan, seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan banyak lagi perjanjian perdagangan bebas lain telah meluaskan akses pasaran bagi barangan perkilangan dan ini telah meningkatkan pengeluaran dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan,” katanya.
Syarikat pembuatan di Malaysia juga memainkan peranan yang sangat penting dalam rantaian bekalan global yang sekali lagi telah membawa kepada pertumbuhan pekerjaan apabila pengilang membekalkan komponen kepada pemain global utama.
Tidak dinafikan, sektor pembuatan merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyumbang 22-24 peratus daripada jumlah KDNK, mencerminkan peranan pentingnya dalam ekonomi.
“Sebagai pemacu utama eksport yang menyumbang kira-kira 88 peratus daripada jumlah eksport negara, sektor pembuatan menjana pendapatan pertukaran asing yang besar sekali gus meningkatkan pendapatan negara dan seterusnya pendapatan per kapita.
“Sektor pembuatan juga menyediakan sejumlah besar pekerjaan, mewakili kira-kira 17 peratus daripada jumlah tenaga buruh,” katanya.
“Purata gaji bulanan dalam sektor pembuatan meningkat daripada RM2,200 pada 2013 kepada kira-kira RM3,800 pada 2023 dengan peningkatan aktiviti perindustrian dan pelaburan asing, tidak kurang pentingnya juga pelbagai dasar kerajaan yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti perkilangan bernilai tambah tinggi dan peralihan pembuatan kepada aktiviti yang lebih maju yang menuntut lebih ramai buruh mahir, seterusnya membawa kepada gaji yang lebih baik dan pendapatan per kapita yang lebih baik,” katanya.
Soh berkata FMM menyokong program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran teknikal yang diperlukan bagi memenuhi permintaan ahli-ahli.
“FMM juga menyokong prinsip pembuatan yang memaksimumkan produktiviti dan mengurangkan pembaziran dan teknik pengoptimuman proses lain yang meningkatkan produktiviti dan bekerjasama rapat dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia untuk membantu ahli yang ingin memulakan amalan pembuatan sedemikian.
“FMM juga memainkan peranan penting dalam melancarkan Dasar 4WRD Industri Negara dan menggalakkan penggunaan teknologi termaju seperti automasi, internet pelbagai benda, dan AI untuk membantu ahli meningkatkan kecekapan mereka dan mengurangkan kos,” katanya.
Beliau berkata FMM baru-baru ini dilantik oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menerajui projek 2.1 berasaskan misi bagi melakukan perubahan terhadap 3,000 kilang di bawah NIMP 2030 yang penting dalam menyokong peningkatan produktiviti dan kecekapan dalam kalangan ahli.
“FMM juga menjalankan tinjauan gaji di Malaysia sebagai penanda aras gaji dalam sektor pembuatan terhadap piawaian industri yang akan membantu syarikat kekal berdaya saing dari segi pampasan, memastikan gaji meningkat sejajar dengan kos sara hidup,” katanya.
Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata bahagian pekerjaan mahir Malaysia perlu ditingkatkan kepada 30 peratus atau lebih tinggi menjelang 2030 daripada 25.1 peratus sekarang kerana semakin besar bahagian tenaga kerja mahir, kemakmuran ekonomi akan lebih meningkat.
Beliau berkata peningkatan pantas pekerjaan mahir akan mencerminkan kadar peningkatan struktur lebih cepat dan peralihan kepada aktiviti nilai tambah lebih tinggi yang akan membawa limpahan lebih besar kepada ekonomi melalui peningkatan perbelanjaan penggunaan serta pelaburan.
Menurutnya, pertumbuhan KDNK Malaysia diunjurkan pada empat hingga lima peratus setahun dalam jangka sederhana dan pertambahan penduduk dijangka sekitar satu peratus, pertumbuhan pendapatan per kapita sebenar diunjurkan pada tiga hingga empat peratus setahun.
“Bagaimanapun, Malaysia harus menyasarkan senario kadar lebih tinggi iaitu pertumbuhan 5.5 – 6.5 peratus KDNK bagi tempoh berbaki hingga tahun 2030.
“Pada kadar ini, Malaysia akan dapat mencapai status negara berpendapatan tinggi sebelum tempoh sasaran berakhir dan mencapai majoriti Matlamat Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Yeah berkata negara mencapai kadar pengurangan pekerjaan berkemahiran rendah sebanyak empat peratus kepada 1.11 juta pada suku pertama 2024 daripada suku sama tahun sebelumnya yang memberi petunjuk baik bagi ekonomi untuk beralih kepadavpekerjaan berkemahiran lebih tinggi.
“Bagaimanapun, bahagian pekerjaan mahir perlu ditingkatkan dengan ketara daripada kadar semasa.
“Sehubungan itu, pengenalan automasi dan AI akan mempercepatkan peningkatan pekerjaan mahir dan mengurangkan pekerjaan separa mahir dan mahir rendah yang dikuasai sejumlah besar pekerja asing tidak mahir,” katanya.
Yeah berkata pada akhir suku pertama tahun ini, pekerjaan separuh mahir menyumbang 62.4 peratus daripada jumlah pekerjaan manakala pekerjaan mahir membentuk 24.9 peratus dan pekerjaan mahir rendah 12.7 peratus.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata walaupun automasi dan AI berpotensi untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti, ia juga berpotensi membawa kepada kehilangan pekerjaan.
“Pekerjaan tertentu mungkin menjadi ketinggalan zaman kerana automasi, memerlukan pekerja untuk meningkatkan kemahiran atau menjalani latihan semula untuk kekal bekerja.
“Bagaimanapun, automasi juga boleh mewujudkan peranan pekerjaan baharu terutamanya dalam bidang yang memerlukan kreativiti manusia, empati dan kemahiran menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata penciptaan pekerjaan dan pendapatan per kapita berkait rapat apabila lebih banyak pekerjaan diwujudkan, pendapatan keseluruhan per kapita cenderung untuk meningkat, mencerminkan taraf hidup yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, kualiti pekerjaan yang diwujudkan termasuk gaji dan faedah turut memberi kesan kepada pendapatan per kapita. Pekerjaan bergaji rendah atau tidak stabil mungkin tidak memberi sumbangan ketaraa kepada pertumbuhan pendapatan.
“Inisiatif kerajaan untuk menaikkan gaji minimum serta memperkenalkan gaji progresif menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kenaikan gaji purata yang berterusan serta kualiti hidup pekerja,” katanya.
Ahmed Razman berkata pelaburan berterusan dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur boleh menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan mampan dari semasa ke semasa.
“Itulah sebabnya sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan kekal mendapat peruntukan paling besar pada setiap pengumuman Belanjawan.
“Bagaimanapun, cabaran seperti ketidaksamaan pendapatan dan kelestarian alam sekitar terus menjadi agenda penting kepada kerajaan dan jika tidak ada apa-apa yang dilakukan untuk menanganinya, ia boleh memberi kesan kepada unjuran pendapatan per kapita jangka panjang,” katanya.
Bantu pacu penciptaan pekerjaan
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Kubur Suspek Serang Balai Polis Di Asingkan Dari Perkuburan Awam
- Adakah DS Najib Akan Menggugat Kedudukan Anwar Sekiranya Di Bebaskan
- Menteri Luar ucap takziah kepada Republik Islam Iran.
- Insiden Ulu Tiram – Siasat menyeluruh terlebih dahulu sebelum umum dapatan , Tengku Putra tegur PDRM
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Tragedi Helikopter Presiden Iran Terhempas, Kemalangan Atau Konspirasi?