Bekas sukarelawan APM dipenjara 35 tahun, bunuh anak jagaan
Oleh – Syeikh Baran
Seorang bekas sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diperintah menjalani hukuman penjara 35 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas kesalahan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang ketika itu di bawah jagaannya, lima tahun lalu.
Laporan forensik tidak menolak kemungkinan Zahira Sofea Ahmad Mu’iiz ditampar, disepak, digoncang dengan kuat atau dihentak pada permukaan objek tumpul yang keras.
Mahkamah Tinggi Klang dekat sini mengeluarkan perintah itu selepas Mohd. Sazry Mohd Taha, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Sazry, 36, didakwa membunuh Zahira Sofea di rumahnya (tertuduh) di Kampung Sungai Udang, Klang di antara pukul 1 petang, 28 September 2019 dan 1 petang keesokannya.
Hasil siasatan polis mendapati, pada waktu material, kanak-kanak itu dalam pemeliharaan dan jagaan bekas sukarelawan tersebut.
Hakim Norliza Othman dalam keputusannya berpendirian, lelaki itu telah mendera kanak-kanak berkenaan yang merupakan anak rakan yang ketika itu di bawah jagaannya.
Beliau berpuas hati, Mohd. Sazry gagal menunjukkan belas ihsan dan kasih sayang yang sewajarnya diberi kepada kanak-kanak sekecil mangsa yang tidak berdaya menahan siksaan fizikal sehingga maut.
“Sebelum pelaksanaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, hanya ada satu hukuman bagi kesalahan membunuh iaitu gantung sampai mati. Namun hasrat Parlimen menggubal akta itu bagi memberi peluang pesalah-pesalah kembali membina hidup baru dalam kalangan masyarakat.
“Oleh itu, hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh harus diberi dan bukan sekadar satu hukuman bagi memenuhi kehendak akta,” ujar beliau dalam alasan penghakiman bertarikh 25 Mac lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.
Sumber – KOSMO! ONLINE