Pegawai kastam didakwa 38 pertuduhan rasuah

Oleh – Syeikh Baran


Pegawai kastam didakwa 38 pertuduhan rasuah
Tertuduh menutup wajahnya ketibaan berada di Mahkamah pada Khamis.

Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 38 pertuduhan menerima rasuah.

Tertuduh, Wan Azmany Wan Ali @ Wan Abdul Aziz membuat pengakuan itu di hadapan hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah



Wan Azmany dituduh menerima rasuah berjumlah RM14,950 antara 2017 hingga 2021 antara tempoh 22 Mac 2017 sehingga 2 September 2021 lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wan Azmany yang bertugas sebagai Pembantu Kastam Kanan Gred WK22 di JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA, didapati secara rasuah memperolehi wang berjumlah RM100 hingga RM3,000 daripada seorang pemilik ejen perkhidmatan pengangkutan kargo di KLIA, sebagai balasan melancarkan urusan perkhidmatannya.

Wan Azmany menerima wang berkenaan melalui satu akaun bank miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah cawangan bank di Taman Kebun Teh, Johor Bahru antara 27 Mac 2017 hingga 2 September 2021.



Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide manakala tertuduh diwakili peguam Jamaludin Abdul Jalil dan Asril Helmi Arsad.

Pihak pendakwaan turut mencadangkan jaminan RM30,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin warga Malaysia berserta syarat tambahan.

Bagaimanapun, pihak peguam memohon wang jaminan dikurangkan sebanyak RM5,000.



Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button