Ibu bapa Zayn Rayyan kelihatan sangat terkejut – Peguam

Oleh – Syeikh Baran


Ibu bapa Zayn Rayyan kelihatan sangat terkejut – Peguam
Zayn Rayyan.

Peguam, Mahmud Abdul Jumaat memberitahu bahawa terdapat perkembangan baharu dalam siasatan polis yang membawa kepada penahanan ibu bapa kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di Puncak Alam, semalam.

Beliau yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, pasangan terbabit direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi melengkapkan siasatan.



“Ada perkembangan terbaharu dari siasatan polis yang mana semalam mereka menahan kedua-kedua suspek atau orang yang disyaki (OYDS).

“Buat masa ini kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi, jadi saya mohon semua pihak bersabar dan mendoakan agar keluarga ini kuat, menerima ujian tersebut.

“Ia masih dalam tempoh reman, ia sekadar melengkapkan siasatan. Kita tak tahu lagi siapa lagi yang bakal dituduh,” katanya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Jelas Mahmud, tangkapan dan reman ke atas mereka dibuat berdasarkan perkembangan terbaharu daripada siasatan pihak polis dan dibenar reman tujuh hari bermula hari ini hingga 7 Jun ini.



Mahmud berkata, pasangan suami isteri itu kelihatan sangat terkejut ketika disangka suspek dalam kes bunuh anak mereka.

“Saya juga tak jangka perkara ini malah saya percaya satu Malaysia terkejut dengan pertemuan berkenaan. Tapi saya yakin pihak polis memohon reman ini untuk melengkapkan siasatan.

“Kita akan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan telus dan terperinci demi keadilan,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! pada 6 Disember tahun lalu melaporkan Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini.



Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button