Lelaki tampal bendera Israel didenda RM100

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki tampal bendera Israel didenda RM100
Gambar Hiasan

“Saya tampal bendera Israel di kedai makanan segera itu sebab saya marah selepas ada keluarga saya meninggal dunia di Palestin.”

Itu kata seorang lelaki dalam rayuannya sebelum didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah meletakkan pelekat bendera Israel di sebuah restoran makanan segera bulan lalu.



Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz turut memerintahkan Tariq Hazim Mohd Yusri, 25, menjalani hukuman penjara sehari sekiranya gagal membayar denda.

Semasa prosiding, selepas rayuan itu dibuat Majistret Nurul Hafzan kemudian menasihatkan supaya tertuduh berfikir dahulu sebelum bertindak.

“Kamu kena fikir akibat perbuatan kamu itu, sebab kalau kamu buat begitu ia tidak akan menjadi keadaan yang lebih baik,” kata Majistret itu.

Mengikut pertuduhan, Tariq Hazim didakwa meletakkan pelekat bendera Israel, yang mana keamanan seorang pekerja wanita di sebuah restoran makanan segera mungkin terganggu di sebuah restoran makanan segera di Batu 10, Jalan Hulu Langat di sini pukul 4.42 petang pada 29 Mei lalu.



Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Sementara itu, dalam rayuan untuk meringankan hukuman, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nabilla Rosli memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman denda minimum kerana lelaki itu yang bekerja sambilan hanya berpendapatan RM2,500 sebulan.

“Tertuduh perlu menanggung isteri yang tidak bekerja sementara ibu tertuduh mempunyai penyakit gout dan bapanya mempunyai penyakit jantung selain menanggung ibu mentuanya yang juga ibu tunggal. Tertuduh juga menyesal atas kesilapannya itu dan memohon maaf kepada semua pihak,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pegajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button