Pendakwaan mohon rayuan Rewcastle-Brown ketepi hukuman fitnah ditolak

Oleh – Syeikh Baran


Pendakwaan mohon rayuan Rewcastle-Brown ketepi hukuman fitnah ditolak
Clare Rewcastle-Brown.

Pihak pendakwaan kes fitnah Sultanah Terengganu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi, di sini menolak rayuan Clare Rewcastle-Brown untuk mengetepikan sabitan salah dan hukuman penjara dua tahun yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah berkata, permohonan tersebut berikutan Rewcastle-Brown selaku perayu tidak pernah hadir prosiding kes memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah sejak peringkat awal lagi.



Dalam hujahannya sewaktu pengurusan kes hari ini, beliau berkata, Rewcastle-Brown gagal untuk hadir ke mahkamah walaupun mengetahui prosiding mahkamah sudah berjalan sejak tahun 2021.

“Justeru walau apa pun hujahan perayu (Rewcastle-Brown), kami dengan rendah diri memohon rayuan ini dibatalkan atas alasan ketidakhadirannya sepanjang masa ke prosiding di Mahkamah Majistret (Kuala Terengganu) mahu pun Mahkamah Tinggi.

“Hujahan perayu hanya untuk melengahkan masa kerana perayu juga tidak berada di negara ini,” katanya sewaktu berhujah di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani di Mahkamah Tinggu di sini hari ini.

Sementara itu, peguam, Guok Ngek Seong yang mewakili Rewcastle-Brown pula berhujah kehadiran perayu dianggapnya tidak wajib.



Beliau memberitahu, pihaknya telah memfailkan petisyen rayuan pada 4 Jun lalu iaitu hari sama menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Majistret.

Hakim Datuk Hassan kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 21 Julai depan dengan mengarahkan Rewcastle-Brown tetap menghadirinya.

Kosmo! 7 Februari lalu melaporkan Rewcastle-Brown yang juga Pengarang Sarawak Report telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan memfitnah Sultanah Nur Zahirah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Rewcastle-Brown yang beralamat di London didakwa telah menulis sebuah buku bertajuk The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap Sultanah Terengganu.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button