Pengurusan kes Hafizul cuba bunuh isteri ditetapkan 25 Julai

Oleh – Syeikh Baran


Pengurusan kes Hafizul cuba bunuh isteri ditetapkan 25 Julai
Hafizul ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sepang hari ini.

Kes Hafizul Hawari yang merupakan individu terlibat dalam insiden melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ditetapkan untuk pengurusan kes pada 25 Julai ini.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahin Sasaruddin
memaklumkan beberapa dokumen berkaitan kes masih belum lengkap.



Mendengar perkara itu, peguam Nik Azim Azlan yang mewakili Hafizul kemudian memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi pengurusan kes seterusnya.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan 25 Julai ini bagi sebutan semula dan pengurusan kes.

Terdahulu, Hafizul, 38, yang berbaju putih kelihatan tenang tiba di mahkamah pada pukul 9.10 pagi. Prosiding hari ini merupakan sebutan kali pertama kesnya selepas didakwa pada April lalu.

Pada 25 April lalu, Hafizul mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Azrol Abdullah.



Bagaimanapun ketika itu Hakim Azrol menolak jaminan diberikan kepada tertuduh berikutan dua pertuduhan itu serius.

Berikutan tiada ikat jamin diberikan, Hafizul kekal ke Penjara Sungai Buloh sehingga sebutan semula kesnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa telah melakukan cubaan bunuh terhadap Farah Md. Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal, 1 KLIA di sini pukul 1.09 pagi pada 14 April lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun.



Pertuduhan kedua, Hafizul didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Mohd. Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol senjata yang boleh menyebabkan kematian pada waktu, tempat dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Selain Mahkamah Sepang, Hafizul turut didakwa dan mengaku tidak salah tujuh pertuduhan tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, peluru dan mercun.

Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini, Kota Bharu pukul 2 petang pada 15 April lalu.



Kosmo! sebelum ini melaporkan, selepas melarikan diri lebih 36 jam, Hafizul yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang akhirnya berjaya diberkas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Hafizul ditahan di depan sebuah hospital swasta kira-kira pukul 3 petang.

Terdahulu pada 14 April lalu Kosmo! melaporkan seorang pengawal peribadi Ustazah Farah Cie cedera parah selepas ditembak suspek dalam kejadian di KLIA.

Sumber – KOSMO! ONLINE



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button