Felda perkenal inisiatif Waqaf Tandan Sawit

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melalui Waqaf Felda memperkenalkan inisiatif Wakaf Tandan Sawit bagi membolehkan warga peneroka menyumbang kepada institusi wakaf ini dengan sasaran kutipan sebanyak RM19.2 juta setahun.

Felda dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebelum ini sumbangan kepada Waqaf Felda dilakukan menerusi sumbangan tunai dan potongan pendapatan bulanan warga Felda.

“Wakaf Tandan Sawit itu adalah cetusan idea warga peneroka itu sendiri dan bermula di Felda Kerteh 6, Terengganu dengan tandan sawit diwakafkan dan nilai jualannya disumbangkan ke Waqaf Felda.



“Peningkatan hasil ladang dengan purata produktiviti daripada 17.29 tan per hektar pada 2021 kepada 19.43 tan per hektar pada tahun lalu, mendorong peneroka meningkatkan amalan jariah melalui sumbangan sedekah serta wakaf,” katanya.

Menurut kenyataan itu, peneroka yang berhasrat mewakafkan tandan sawit boleh membuat permohonan dengan Felda serta menyatakan bilangan tandan sawit segar sebelum dihantar ke kilang.

Bilangan tandan sawit yang masak seterusnya akan diasingkan, ditimbang dan jumlah nilai daripada tandan berkenaan akan diwakaf serta dipindahkan ke akaun Waqaf Felda bagi pihak peneroka.

Katanya, pelaksanaan Wakaf Tandan juga menyokong usaha kerajaan yang mensasarkan wakaf sebagai instrumen yang mampu menyumbang sehingga 20 peratus pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030.



Felda turut yakin inisiatif berkenaan mendapat sokongan penuh warga peneroka dan membuktikan kesediaan mereka sebagai komuniti berdikari yang progresif, selain bersama-sama memperkasakan institusi wakaf dan menyokong agenda pembangunan negara.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button