Najib wira skuad hoki lelaki dari seri dengan Singapura

Phnom Penh: Muhammad Najib Abu Hassan muncul wira skuad hoki lelaki negara apabila meledak gol kemenangan untuk Malaysia menewaskan Singapura 4-3 dalam aksi sengit di Stadium Hoki Morodok Techo.

Pada aksi kedua peringkat round robin Sukan Sea Kemboja 2023 itu, skuad negara mendahului Singapura menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-15.

Noor Silas menyamakan kedudukan buat Singapura pada minit ke-37 sebelum Alfarico Lance Liau kembali meletakkan Malaysia di depan juga menerusi pukulan sudut penalti.



Saingan sengit terus diberikan Singapura apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Dineshraj Naidu pada minit ke-46, namun tidak sampai seminit kedudukan itu berubah lagi selepas Muhammad Amirul Hamizan Azahar menyumbang gol ketiga Malaysia.

Malah, drama pertembungan ‘tetangga seberang tambak’ tidak terhenti di situ apabila Singapura sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan selepas Noor memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit ke-53.

Muhammad Najib kemudian menghadiahkan tiga mata berharga buat skuad negara dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-57.

Ketua jurulatih pasukan hoki Sukan Sea lelaki kebangsaan, Muhamad Amin Rahim bersyukur pasukannya dapat meraih tiga mata walaupun tidak beraksi dengan baik berbanding yang ditampilkan mereka sebelum ini.



“Mereka kerap melakukan kesilapan mudah, membenarkan lawan menguasai permainan pada beberapa ketika, membuatkan kami berada pada situasi tertekan.

“Namun pujian tetap harus diberikan atas kemenangan hari ini dan saya berharap pemain akan membuat analisa individu untuk menambah baik persembahan mereka,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button