West Ham hampiri final Eropah

London: West Ham menghampiri pentas final Eropah pertama selepas 47 tahun apabila Michail Antonio memastikan kemenangan 2-1 ke atas AZ Alkmaar dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Konferensi, awal pagi tadi.

Ketika West Ham mengintai penampilan di pentas final, FC Basel turut mahu melakar sejarah tersendiri selepas meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Fiorentina pada satu lagi aksi separuh akhir pertama.

Beraksi di Stadium London, pasukan bimbingan David Moyes ketinggalan selepas Tijjani Reijnders meledak gol pada separuh masa pertama namun mereka berjaya bangkit semula di babak kedua.



Said Benrahma menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum Antonio menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk memastikan kemenangan West Ham menjelang aksi timbal balik di Belanda 19 Mei ini.

“Ia adalah perlawanan yang agak pelik untuk dianalisis. AZ bermain dengan baik di awal permainan sedangkan kami agak kelam-kabut.

“Kami melakukan beberapa keputusan bodoh, mencuba dari jarak 30 ela dan tidak memanfaatkan peluang terbaik. Tapi pada akhirnya saya gembira dengan keputusan ini,” kata Moyes.

West Ham sudah memenangi 12 daripada 13 perlawanan mereka dalam pertandingan itu musim ini sekali gus di ambang menjulang trofi utama pertama sejak Piala FA 1980.



Musim lalu, The Hammers tewas dalam aksi separuh akhir Liga Europa menentang Eintracht Frankfurt, tetapi mereka berada di kedudukan untuk melangkah lebih jauh musim ini.

West Ham tidak pernah mara ke final Eropah sejak mereka ditewaskan oleh Anderlecht dalam saingan Piala Winners 1976.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button