Konon nak ambil air, pasangan kekasih dicekup khalwat

Kulim: Seorang lelaki memberi alasan hanya datang ke rumah teman wanitanya untuk mengambil air kerana bekalan di rumahnya terputus.

Bagaimanapun, helah lelaki berusia 35 tahun itu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila dia dan pasangannya dicekup berkhalwat di rumah sewa wanita berusia 48 tahun itu di Taman Sri Pinang, di sini, hari ini.

Malah, anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) turut menemui banyak barangan milik lelaki itu di rumah terbabit.



Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, pasangan itu yang juga penjawat awam masing-masing turut mendakwa masih bujang dan belum berkahwin.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan maksiat di rumah terbabit yang diketuai Azwan Azman.

“Hasil pemeriksaan mendapati, keadaan pintu rumah itu tertutup dan berkunci dari dalam,” katanya di sini hari ini.

Anwar Sharifudin berkata, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri sehingga menimbulkan syak mereka berkhalwat.



Beliau berkata, mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button