‘Aku janji adalah satu amanat yang perlu dilaksanakan’- Ayob Khan
KUALA LUMPUR: Semua ketua polis daerah (KPD) diingatkan untuk mematuhi aku janji dalam melaksanakan tanggungjawab membanteras kegiatan jenayah, termasuk judi haram di daerah masing-masing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata aku janji yang ditandatangani setiap bulan oleh KPD adalah satu amanat yang perlu dilaksanakan sebaiknya.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana KPD yang gagal melaksanakan amanat seperti dinyatakan dalam aku janji berkenaan dan tiada lagi amaran akan diberikan.
“Bila saya masuk ke JSJ, saya sudah bagi arahan kepada semua ketua jabatan (JSJ) di peringkat Bukit Aman, kontinjen, KPD, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) serta Pegawai Risikan Operasi (RO).
“Saya ada buat mesyuarat dengan mereka semua. Arahan saya jelas iaitu untuk memastikan operasi berterusan dibuat ke atas pusat judi (judi haram),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, menerima tugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu daripada Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mohd Noor.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, beliau mengetahui ada segelintir KPD di ibu negara tidak berpuashati dengan arahan beliau berkaitan operasi pembanterasan kegiatan judi itu.
“Saya ada menerima maklumat bahawa ada dalam kalangan KPD Kontinjen Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila saya menghantar Task Force Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dari JSJ Bukit Aman untuk mengambil tindakan ke atas premis judi.
“Sepatutnya, semua KPD yang setiap bulan menandatangani aku janji memastikan tiada sebarang aktiviti judi di daerah masing-masing, berpegang teguh kepada aku janji itu.
“Aku janji ditandatangani KPD setiap bulan, ia bukan satu perkara yang baharu. Saya hanya mahu memastikan ada pelaksanaan (operasi), bukan setakat aku janji. Janganlah aku janji itu dianggap sebagai satu kertas tisu yang tiada nilai,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya akan memastikan aku janji itu dilaksanakan oleh KPD dan jika ia gagal dilaksanakan, mereka akan dikenakan tindakan dan perkara itu dipersetujui pucuk pimpinan PDRM.
Dalam pada itu, Ayob Khan mengakui, kegiatan judi haram masih berleluasa dan usaha untuk membanterasnya akan memakan masa, namun operasi secara berterusan perlu dilakukan.
“Pertama, kita (Polis Diraja Malaysia) perlu konsisten (menjalankan operasi) dan kedua, kita perlu ada kolaborasi mantap dengan agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Ada kita terima aduan daripada masyarakat mengatakan hari ini polis buat operasi, esok kedai (judi) sudah beroperasi semula.
“Pihak PBT mungkin ambil masa sedikit untuk batalkan lesen kerana biasanya mereka akan menunggu keputusan mahkamah tetapi TNB biasanya ambil tindakan cepat untuk memotong bekalan elektrik,” katanya.
Tambah beliau, kekurangan pemantauan dan penyeliaan di peringkat polis kontinjen negeri dan daerah menyebabkan kegiatan judi haram masih berleluasa.
Sehubungan itu, pihaknya turut menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau segala jenis kegiatan jenayah, termasuk melaksanakan pemeriksaan dan operasi mengejut ke atas premis judi di daerah.
BHOnline