Mid Valley City ditutup sementara

KUALA LUMPUR: Pusat beli belah Mid Valley City, di sini ditutup sehingga satu tempoh yang belum ditetapkan susulan kebakaran membabitkan sebuah bilik pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di situ, pagi tadi.

Pengurusan pusat beli belah berkenaan dalam satu kenyataan berkata penutupan itu adalah sebagai langkah keselamatan membabitkan semua pihak sama ada pengunjung dan petugas di situ selain bagi memastikan bekalan elektrik kembali pulih semula.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan ingin menegaskan keselamatan pengunjung dan tetamu tetap menjadi keutamaan kami,” kata kenyataan itu menerusi akaun Facebook pusat beli belah itu.



BH hari ini melaporkan, sebuah bilik pencawang TNB di bangunan pusat beli-belah Mid Valley City, terbakar kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 10.32 pagi dan pemeriksaan lanjut selepas itu mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Lapan jentera dikejarkan ke lokasi kejadian membabitkan Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pantai, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Seputeh dengan kekuatan 40 pegawai dan anggota.

Pengurusan Mid Valley City dalam kenyataan berkenaan turut memaklumkan kebakaran berlaku di pencawang luar, namun keadaan terkawal dengan bantuan Pasukan Tindak Balas Kecemasan tanpa ada kemalangan jiwa dilaporkan.



“Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tiba di tempat kejadian jam 10.42 pagi untuk memadam kebakaran. Sehingga jam 11.38 pagi tadi, kami mengesahkan tiada sebarang kejadian kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Jabatan Bomba dam Penyelamat kini masih berada di tempat kejadian bagi memadam kebakaran dan menjalankan semua siasatan yang diperlukan serta mengawal keadaan premis tanpa gangguan terhadap operasi pusat membeli-belah,” katanya.

PMU Mid Valley terbakar: Bekalan elektrik pulih sepenuhnya – TNB

Sementara itu TNB dalam kenyataan berkata, syarikat utiliti itu dapat memulihkan bekalan elektrik kepada sebahagian besar pengguna seawal empat minit gangguan berlaku dan bekalan pulih sepenuhnya sekitar jam 12:30 tengah hari.



Tindakan pantas Pasukan Teknikal TNB telah dapat memulihkan bekalan elektrik seawal jam 10:55 pagi.

Bekalan elektrik dipulihkan secara berperingkat dengan majoriti kawasan terbabit mendapat bekalan masing-masing dalam tempoh satu setengah jam.

Menurut Ketua Pegawai Grid, Ir Dev Anandan, pemeriksaan TNB mendapati PMU berkenaan terpelantik pada jam 10:27 pagi dan bekalan terputus mulai jam 10:51 pagi.

Gangguan bekalan itu membabitkan kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai.



Untuk makluman katanya, sistem pengangkutan di KL Sentral tidak terjejas kerana mendapat punca bekalan yang berbeza.

“TNB mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atas bantuan memadamkan kebakaran. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna terbabit.” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button