Tolong kesan abah kami!
Kuala Lumpur: Lelaki warga emas dilaporkan hilang sejak empat hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Datuk Keramat, di sini.
Mohd Salihudin Lailan, 73, yang memakai kemeja berwarna kuning dan berseluar panjang berwarna kelabu dikatakan keluar dari rumahnya pada 16 Mei lalu dengan berjalan kaki.
Anaknya, Nor Habibah, 38, berkata, bapanya yang mempunyai penyakit jantung, darah tinggi dan sedikit masalah ingatan tinggal bersamanya dan ibu, Rumlah Mustapha, 68.
Menurutnya, bapanya memang setiap hari akan keluar rumah untuk berjalan pagi dan membeli akhbar sejak bersara dalam perkhidmatan kerajaan.
“Abah memang ada masalah ingatan tetapi tidak teruk, kadang-kadang saja dia lupa. Abah pernah hilang Disember tahun lalu ketika itu dia menunggang motosikal dan sebab itu sekarang kami tak bagi dia bawa motosikal, jadinya dia berjalan kaki saja.
“Abah memang suka berjalan, setiap pagi dia akan keluar rumah dan itu dilakukan sejak dia bersara. Selalunya abah akan balik pada tengah hari untuk mandi, solat dan makan, tetapi kali ini langsung tak pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kehilangan bapa disedari ibunya pada 9 pagi sebelum mereka berusaha mencari warga emas itu di semua lokasi yang selalu dikunjungi sebelum membuat laporan polis keesokannya.
“Abah tak bawa apa-apa kecuali telefon saja. Kami cuba hubungi dia banyak kali tetapi tak diangkat dan sekarang telefonnya sudah tidak dapat dihubungi, mungkin sudah kehabisan bateri.
“Kami juga usaha mencari abah di semua tempat termasuk rumah rakannya dan masjid serta surau sekitar Datuk Keramat tetapi gagal. Semalam, ada maklumat yang beritahu nampak seseorang seperti abah tetapi individu itu bukan abah kami,” katanya.
Menurut Nor Habibah, mereka kini sudah buntu untuk mencari bapa dan turut menguar-uarkan kehilangan Mohd Salihudin di Facebook serta berharap orang ramai yang mempunyai maklumat boleh memaklumkan segera kepada mereka.
“Saya bersama empat lagi beradik serta mak sangat risaukan abah. Tidur malam kami juga tidak lena mengenangkan abah yang masih di luar sudah empat hari tiada khabar berita.
“Hati ini sangat risaukan abah, apa yang dia makan di luar sana, ubat dan dompet pun dia tidak bawa. Besar harapan kami sekeluarga abah akan segera ditemukan dalam keadaan baik dan sihat,” katanya.
Bagi yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Nor Habibah di talian 019-3951006.
METRO