Wanita Indonesia tawar khidmat seks dalam talian disebat
BANDA ACEH: Dua wanita Indonesia disebat di khalayak umum hampir 100 kali setiap seorang kerana menawarkan khidmat seks secara dalam talian, kata seorang pegawai di wilayah ini, hari ini.
Aceh adalah satu-satunya wilayah di negara majoriti Muslim Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah, yang membenarkan hukuman sebat bagi pelbagai kesalahan termasuk pelacuran, judi, berzina, minum alkohol dan hubungan sejenis.
Hukuman itu dijalankan semalam di bandar Langsa, dengan puluhan masyarakat berkumpul untuk melihat kedua-dua wanita itu disebat, walaupun larangan orang ramai berhimpun dikenakan kerana COVID-19.
Pesalah wanita itu tidak memakai pelitup muka, tidak seperti beberapa hukuman sebat yang dijalankan sebelum ini.
Kedua-dua yang memakai tudung itu ditahan pada Mac lalu bersama lima pekerja seks lain, yang turut berdepan kemungkinan dihukum sebat jika disabit kesalahan melanggar undang-undang syariah, kata Ketua Agensi Syariah Islam Langsa, Aji Asmanuddin.
“Mereka dihukum kerana melanggar undang-undang syariah dengan mengiklankan (seks) melalui internet,” katanya.
Pihak berkuasa dilihat bergelut untuk mengekang perkhidmatan seks dalam talian yang semakin banyak di kawasan itu, tambahnya.
“Ini adalah kes pertama seumpamanya di Langsa, namun kami percaya ada ramai lagi yang menawarkan perkara sama.
“Cuma kami tidak memiliki kelengkapan mencukupi untuk mengawasi mereka secara dalam talian,” kata Asmanuddin.
Kumpulan hak asasi mengkritik hukuman sebat di khalayak umum dan menyifatkannya sebagai kejam, dan Presiden Indonesia, Joko Widodo menggesa hukuman itu ditamatkan.
Bagaimanapun, hukuman itu mendapat sokongan dalam kalangan warga Aceh yang majoritinya beragama Islam. – AFP