Elak duti RM33 juta sindiket didakwa isnin ini
Oleh – Syeikh Baran
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa enam ahli sindiket yang terlibat dalam pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga lebih RM33 juta pada 15 dan 16 Januari ini.
Kesemua suspek yang merupakan pengusaha dan ‘runner’ perkhidmatan gudang sita penyimpanan kereta mewah di Pulau Langkawi dan pernah ditahan SPRM menerusi satu operasi khas satu‘Op Eagle’ pada Julai 2023.
Keenam-enam suspek akan menghadapi lebih 21 pertuduhan di bawah Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Operasi dijalankan SPRM susulan isu terkurang kutipan duti kastam sepanjang 2012 hingga 2021 di Pulau Langkawi yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022).
Ketika itu, LKAN menyebut bahawa terdapat unsur ketirisan lebih RM72 juta dalam pengutipan duti kastam melibatkan lebih 100 kenderaan mewah pelbagai jenama antaranya seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren dan Rolls Royce.
Susulan LKAN 2022 itu, SPRM menjalankan Op Eagle sebelum mengesan terdapat sindiket yang bersubahat dengan pemilik kereta mewah yang mahukan pengecualian dan pengurangan duti kastam walaupun sebenarnya mereka tidak layak.