‘Jonghyun dah lama minat sertai TNB’

Oleh – Syeikh Baran


‘Jonghyun dah lama minat sertai TNB’
JONGHYUN bakal memainkan banyak peranan buat TNB termasuk melibatkan diri dengan program-program pembangunan Thunderbolts selain membantu kelab itu menyapu bersih semua trofi MHL musim ini. – FOTO IHSAN HOKITA

Ketua jurulatih skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin mendedahkan, bintang Korea Selatan, Jang Jonghyun sebenarnya sudah lama menyatakan minatnya untuk menyertai gergasi hoki tanah air itu.

Legenda hoki kebangsaan itu menjelaskan, kehadiran Jonghyun bukan sahaja untuk memastikan TNB memenuhi sasaran dengan menjulang kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 yang akan bermula 1 Februari hingga 9 Mac depan.



Sebaliknya, salah seorang pakar flik terbaik dunia itu mampu membantu TNB dari segi pembangunan terutamanya program-program Thunderbolts meskipun dia kini sudah berusia 40 tahun.

“Jang (Jonghyun) sebenarnya dalam lama berminat nak main dengan TNB. Tahun lepas pun dia pernah ada approach kita.

“Kita ambil kerana kita boleh gunakan kepakaran dan pengalamannya dari segi flik serta rahsia-rahsianya dari sudut pertahanan bila masa perlu untuk pembangunan hoki kita. Bukannya dia datang ke sini untuk relaks.

‘Jonghyun dah lama minat sertai TNB’
JONGHYUN (tengah) bergambar bersama dua lagi bintang TNB iaitu kapten skuad hoki kebangsaan, Muhammad Marhan Mohd. Jalil (kiri) dan Shello Silverius. – FOTO IHSAN HOKITA

“Kiranya misi dua dalam satu sebab Jang memiliki banyak keistimewaan yang boleh membantu kita. Setakat ini saya nampak dia seorang yang tak rumit dalam beberapa sesi latihan dan saya harap semua pemain dapat cepat serasi,” katanya.



Jong-hyun bukan asing lagi buat para peminat hoki tanah air kerana dia sentiasa menjadi nama tetap dalam skuad Pasukan Hoki Terengganu (THT) setiap kali kuota import dibenarkan beraksi dalam MHL.

Kosmo! semalam mendedahkan, ini adalah kali pertama TNB melanggar ‘tradisi’ dengan menggunakan pemain import apabila mengikat khidmat Jonghyun kerana selama ini mereka mempertaruhkan 100 peratus anak tempatan.

Ia secara tidak langsung meletakkan TNB sebagai calon pilihan untuk me­rampas kejuaraan liga dan Piala TNB yang dimenangi THT musim lalu.

Apa tidaknya, TNB kini memiliki dua ‘mesin peledak’ melalui Jonghyun menerusi 29 gol ketika mewakili THT musim lalu dan penyerang skuad hoki kebangsaan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang muncul penjaring terbanyak MHL 2023 dengan 40 gol.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button