Nahas 7 kenderaan korbankan 2 pemandu lori
Oleh – Syeikh Baran
Seorang daripada dua lelaki yang maut dalam nahas tujuh kenderaan di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini pagi tadi, ditemukan dalam keadaan berkecai.
Difahamkan, dua mangsa yang maut di lokasi kejadian, masing-masing pemandu lori gula pasir dan pemandu lori muatan logam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.46 pagi.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai serta BBP Gopeng dikejarkan ke lokasi.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dipercayai meninggal dunia dilaksanakan bomba sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seorang mangsa yang patah tangan dibawa ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.
Sementara itu, PLUS menerusi laman X memaklumkan, semua lorong di kedua-dua arah jalan terhalang kerana tumpahan gula dan serpihan badan lori.
“Trafik tidak bergerak. Sila keluar ke Plaza Tol Simpang Pulai (arah ke selatan) dan Plaza tol Gopeng (arah ke utara),” menurut PLUS.
Sumber – BERITA HARIAN