‘Rider’ ludah pelanggan batal tempahan
Oleh – Syeikh Baran
Seorang penunggang teksi motosikal (ojol) di Malang, wilayah Jawa Timur tergamak meludah penumpang kerana membatalkan tempahan, lapor portal berita Okezone semalam.
Kejadian berlaku di hadapan Universiti Negeri Malang, Kota Malang pada Jumaat lalu.
Menurut laporan, penumpang wanita tersebut membuat keputusan membatalkan tempahan ojol selepas menunggu untuk tempoh yang agak lama.
Selepas membatalkan tempahan, penunggang ojol berkenaan tiba di lokasi tersebut, menyebabkan dia naik berang.
“Penunggang ojol sudah menjelaskan bahawa dia terkandas dalam kesesakan lalu lintas. Dia berang kerana tempahan dibatalkan oleh penumpang tersebut,” kata Ketua Polis Lowokwaru, Komisioner Polis Anton Widodo.
Tambah Anton, mereka bertengkar sebelum penunggang ojol tersebut bertindak meludah wanita berkenaan.
Penunggang ojol tersebut kemudian dipanggil ke balai polis setempat, Sabtu lalu selepas pihak berkuasa menerima aduan mengenai kejadian itu.
Selepas memberi keterangan, kedua-dua pihak akhirnya berdamai dan menutup kes tersebut. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE