Pasangan ‘doktor gigi’ ekspress ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Pasangan 'doktor gigi' ekspress ditahan
SERBUAN dijalankam susulan risikan selama sebulan. FOTO ihsan Jabatan Kesihatan

Masuk kelas sehari, terus jadi ‘doktor gigi.’ Kegiatan suami isteri itu terbongkar selepas premis yang berselindung di sebalik salon kecantikan digempur dalam operasi di Damansara Perdana, di sini, kelmarin.

Difahamkan, pasangan ‘doktor media sosial’ berusia 23 dan 24 tahun itu giat menawarkan perkhidmatan sarung gigi (veneer) secara haram menerusi aplikasi TikTok.



Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor berkata, serbuan dibuat kira-kira jam 2 petang dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya susulan risikan selama sebulan.

“Ketika serbuan, suspek lelaki sedang menjalankan rawatan ‘veneer’ gigi terhadap seorang pelanggan.

“JKN percaya spa kecantikan itu menawarkan caj harga sekitar RM400 hingga RM1,000 untuk rawatan veneer selain pemutihan gigi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang juga suami isteri mempromosikan perkhidmatan itu menerusi TikTok.



Katanya, suspek ketika disoal siasat mengakui menjalankan aktiviti itu sejak dua tahun lalu selepas menghadiri kelas rawatan anjuran salon kecantikan lain selama sehari dengan bayaran RM2,000.

“Pelanggan perlu membuat temu janji dan bayar deposit terlebih dahulu untuk mendapatkan slot rawatan.

“JKN percaya peralatan dan bahan pergigian yang digunakan diperoleh suspek menerusi pembelian secara dalam talian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 iaitu menjalankan amalan pergigian oleh orang yang tidak berkelayakan dan berdaftar yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button