Empat tahun jadi pemuas nafsu bapa kandung

Oleh – Syeikh Baran


Empat tahun jadi pemuas nafsu bapa kandung
Gambar Hiasan

Penderitaan seorang remaja perempuan yang disyaki menjadi ‘hamba seks’ bapa kandungnya sejak empat tahun lalu berakhir apabila lelaki durjana itu diberkas polis semalam.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu pada pukul 3.40 petang.



Katanya, tangkapan ke atas lelaki itu dibuat susulan laporan polis diterima daripada kaunselor sekolah pada pukul 12 tengah hari, hari sama.

“Polis menerima laporan melibatkan mangsa berusia 17 tahun yang mendakwa diperkosa secara berulang kali oleh bapanya.

“Laporan itu dibuat oleh kaunselor sekolah yang berusia 37 tahun setelah dia dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh mangsa ketika sesi kaunseling dijalankan bersama remaja itu pada hari sama,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa memaklumkan kejadian rogol itu kali pertama berlaku pada 2017 semasa berusia 10 tahun dan berlanjutan sehingga 2020.



Katanya, mangsa pernah memberitahu ibu saudaranya berhubung kejadian itu dan bersemuka dengan suspek, namun lelaki itu menafikan dakwaan tersebut.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu dan direman tujuh hari bermula hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button