Peserta kursus PGA meninggal dunia akibat strok haba, kegagalan organ
Oleh – Syeikh Baran
Seorang peserta Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (KAPGA) Siri 1/2024 di Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta di sini meninggal dunia semalam dipercayai akibat strok haba.
Peserta berkenaan, Lans Koperal Mohd. Zulkifly Rozak, 31, dari Platun 6, Kompeni B Batalion 7 PGA rebah ketika mengikuti kursus asas pasukan tersebut pada Khamis lalu sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk diberikan rawatan.
Komandan Pusat Latihan PGA Ulu Kinta, Superintendan Mohammad Hafiz Kadir berkata, peserta kursus PGA berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.45 pagi semalam.
“Mohd. Zulkifly rebah ketika merentas desa pada Khamis lalu. Dia yang dalam keadaan tidak sedarkan diri kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan menaiki ambulans.
“Dia kemudiannya terus dirujuk ke HRPB sebelum kemudian ditidurkan pada sebelah malam. Mangsa seterusnya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) namun disahkan meninggal dunia semalam. Punca kematian Mohd. Zulkifly disahkan oleh doktor akibat strok haba dan kegagalan organ,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohammad Hafiz, Allahyarham bersama 251 peserta yang lain melapor diri bagi menjalani kursus asas PGA bermula 28 April lalu dan dijangka tamat pada 26 Julai depan.
Allahyarham yang telah berumah tangga kemudiannya dibawa pulang ke Kuala Terengganu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sepas solat isyak semalam.
Sumber – KOSMO! ONLINE