Projek ‘Edward Gostaning’ ditunda
07/12/2020 02:17 PM
KOTA KINABALU, 7 Dis — Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur oleh Edward Taning, 59, atau Projek Edward Gostaning (Summit Kinabalu Jasamu Dikenang) yang dijadual berlangsung esok, ditunda buat kali ketiga ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian, kata Pengerusi penganjur projek berkenaan Danson Bulangai.
Beliau berkata kali pertama projek itu ditunda adalah pada 8 Mac, yang berpunca daripada kelewatan mendapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Polis Sabah manakala penundaan kali kedua dan ketiga kerana banyak persediaan tidak dapat dilakukan susulan penularan wabak COVID-19 dalam negara.
“Dengan berat hati, kali ini kita terpaksa menunda sekali lagi projek ini disebabkan penularan wabak COVID-19. Banyak persediaan projek tidak dapat dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Program anjuran bersama Persatuan Malim Gunung Kinabalu yang menyasarkan kutipan lebih RM500,000 itu adalah bagi mendapatkan dana untuk membina dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Ranau.
“Dana berkenaan juga bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Ranau yang masih kekurangan kelengkapan. Kami difahamkan PPDK berkenaan memerlukan sebuah bas untuk pengangkutan pelajar.
“Selain itu, dana itu juga bagi mengisi tabung untuk membeli peralatan asrama malim di Gunung Kinabalu,” kata Danson.