TLDM terima 11 bot tempur RHIB untuk perkasa Op Benteng

Hebahkan !!!

07/12/2020 02:23 PM

LUMUT, 7 Dis — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima 11 unit bot tempur atau Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) bernilai RM8.2 juta bagi memenuhi keperluan dan memperkasa Operasi Benteng (Op Benteng) di perairan Selat Melaka.

Panglima Pasukan Khas Laut (Paskal) Laksamana Pertama Mohd Redzuan Talib berkata kesemua bot itu memang lasak terutama dalam keadaan ombak bergelora selain mempunyai keistimewaan tersendiri termasuk daya membelok ke kiri dan ke kanan serta membuat pusingan.

“Sebuah bot ini boleh menempatkan 12 orang dengan kelajuan maksimum mencapai 45 knot serta mempunyai dua enjin 400 kuasa kuda,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan RHIB kepada TLDM di Pangkalan TLDM Lumut di sini, hari ini.

Penyerahan bot dilakukan oleh Pengarah Urusan Kumpulan MSET Inflatable Composite Corporation Sdn Bhd (MSET) Aminudin Mat Yusof kepada Mohd Redzuan dengan disaksikan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Datuk Ruji Ubi.

Kesemua bot berjaya dibina dalam tempoh lapan minggu di limbungan MEST, Kuala Terengganu turut dilengkapi dengan peralatan navigasi dan komunikasi dan berupaya untuk pelayaran jarak jauh.

Menjelas lanjut, Mohd Redzuan berkata perolehan RHIB akan meningkatkan keupayaan pelaksanaan Op Benteng di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) bagi mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan merangkumi pendatang asing, lanun, pemerdagangan manusia serta penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing.

Katanya, pembahagian sektor adalah di bawah NTF dan kesemua bot itu akan digunakan secara maksimum dalam penugasan Op Benteng yang menjadi keutamaan ketika ini, malah ia juga adalah tugas tambahan Paskal iaitu membantu pasukan lain.

Beliau berkata pelaksanaan Op Benteng turut digembleng bersama Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Leave a Reply

%d bloggers like this: