Pusat COVID-19 risiko rendah: Pulau Pinang cadang tapak pesta
04/01/2021 05:52 PM
GEORGE TOWN, 4 Jan — Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencadangkan tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong, sebagai pusat risiko rendah COVID-19 yang baharu kerana pusat sedia ada di negeri itu kini hampir mencapai had maksimanya, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
“Kita juga akan bincangkan dengan jabatan kesihatan negeri, jika tapak Pesta Pulau Pinang memenuhi syarat, untuk dijadikan pusat risiko rendah COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas program sumbangan makanan di Lebuh Klang di sini hari ini.
Chow berkata, pada masa ini Pulau Pinang mempunyai dua pusat risiko rendah (di luar penjara) iaitu Kompleks Sukan Balik Pulau dengan 432 katil dan Kompleks Masyarakat Penyayang (150 katil).
“Pusat risiko rendah COVId-19 di penjara reman Pulau Pinang telah ditutup, kerana tiada lagi kes melibatkan penghuni penjara, sementara pusat risiko rendah COVID-19 di Seberang Perai, Jawi masih beroperasi, kerana masih terdapat beberapa pesakit COVID-19 ditempatkan di situ,” katanya lagi.
Sementara itu Chow berkata, terdapat keperluan untuk menyediakan satu lagi pusat risiko rendah COVID-19 di Pulau Pinang berikutan indikasi peningkatan kes COVID-19 di negeri ini dengan pelaksanaan ujian saringan yang dilaksanakan terhadap pekerja asing dan kontak rapat mereka.
“Ketika kita berharap yang kes COVID-19 akan dapat dikekang, ia masih lagi perlu untuk mempunyai indikasi awal COVID-19 dan lebih banyak ujian saringan perlu dilaksanakan,” sambil menambah 103 kes COVID-19 telah dikenal pasti di Pulau Pinang semalam.