Pesawat Sriwijaya Air disahkan terhempas – Menteri Perhubungan Indonesia
Menteri Perhubungan (Pengangkutan) Budi Karya Sumadi (sumber: https://m.tribunnews.com/)
09/01/2021 09:57 PM
Oleh Mohd Shukri Ishak
JAKARTA, 9 Jan — Pesawat komersial Sriwijaya Air yang terputus hubungan selepas berlepas dari ibu kota Jakarta menuju ke Pontianak, disahkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta, hari ini.
Menteri Perhubungan Indonesia, Budi Karya Sumadi dalam siaran media menerusi webinar malam ini, berkata pesawat itu dipercayai terhempas di sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang, di kawasan perairan Kepulauan Seribu.
“Presiden (Presiden Indonesia Joko Widodo) memberikan arahan kepada kami untuk memaksimumkan upaya pencarian,” kata Budi Karya.
Beliau berkata pelbagai agensi mencari dan menyelamat seperti Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dan Tentera Indonesia, sedang melakukan pencarian di perairan itu.
Sementara itu Deputi Operasi dan Kesiapsiagaan BASARNAS, Bambang Suryo Aji berkata tumpuan pencarian kini adalah bagi mengesan titik koordinat jatuhnya pesawat itu.
“Diharapkan malam ini kita dapat mengesan titik lokasi pesawat itu jatuh terlebih dahulu dan usaha pencarian seterusnya akan disambung esok pagi ,” kata Bambang Suryo Aji.
Pesawat jenis Boeing 737-500 yang membawa 62 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta,jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat.
Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan udara adalah pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Timur.
Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).
Tiada rakyat Malaysia dalam pesawat Sriwijaya yang terhempas di Indonesia – Kedutaan Malaysia