Lelaki dicekup, isteri datang minta restu

SEORANG wanita yang sarat mengandung sembilan bulan sanggup datang untuk melihat suaminya yang ditahan polis dalam pemeriksaan di Jalan Seberang Putra – Sungai Baru, Alor Setar, malam tadi.

Wanita berusia 30-an itu ditemani jirannya datang untuk meminta restu suaminya yang berusia 33 tahun itu kerana bimbang bersalin anak ketiga mereka, pada bila-bila masa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, sebelum itu, lelaki terbabit dikatakan menunggang motosikal dan cuba lari sebaik ternampak anggota polis.

Bagaimanapun, dia berjaya ditahan selepas dikejar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB).



“Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki itu dikehendaki polis berkaitan kes dadah dua tahun lalu mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rozi berkata, remaja perempuan berusia 17 tahun antara 11 individu ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan sama.

Beliau berkata, remaja terbabit memberi alasan hendak keluar makan bersama teman lelakinya berusia 21 tahun itu, disebabkan keluarganya tiada di rumah kerana pulang ke kampung.

Mereka ditahan ketika menaiki motosikal pada 12 tengah malam.



“Semua tangkapan berusia antara 17 hingga 49 tahun akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button