Lelaki ditahan bawa dadah bernilai lebih RM50,000
13/01/2021 04:32 PM
ALOR SETAR, 13 Jan — Seorang lelaki yang disyaki membawa dadah jenis syabu bernilai RM55,600 di dalam raga motosikal yang ditunggangnya ditahan polis di kawasan Lebuhraya Sultanah Bahiyah, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata suspek berusia 41 tahun yang dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Perlis itu ditahan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar pada 5.45 petang.
“Hasil pemeriksaan, kami menjumpai 12 paket plastik lut sinar berisi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis syabu seberat 556 gram. Kesemua paket plastik berkenaan ditemukan di dalam sebuah beg kertas yang diletakkan di dalam raga motosikal jenis Yamaha.
“Suspek yang berasal dari Perlis ini datang dari arah Tol Selatan menuju ke Mergong untuk mengambil bekalan dadah untuk dijual di sekitar Perlis. Dianggarkan ia mampu dipasarkan kepada 1,200 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.
Ahmad Shukri berkata ujian saringan air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan kini ditahan reman selama seminggu sehingga 19 Jan depan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama,” katanya.