3 maut, 6 selamat, kapal kargo karam di Laut Hitam
18/01/2021 03:39 PM
BARTIN/ANKARA, 18 Jan — Sebuah kapal kargo berdaftar di Palau karam di persisiran pantai Laut Hitam Turki di wilayah Bartin pada Ahad, lapor Agensi Berita Anadolu menurut seorang pegawai.
Pekerja penyelamat berjaya menyelamatkan enam kru Kapal Arvin dan menemui satu mayat di bahagian kapal yang tenggelam, kata Gabenor Bartin, Sinan Guner.
Guner memberitahu wartawan dua mayat masih belum ditemui dan terdapat laporan tiga anak kapal dilihat di kawasan berbatu dan pasukan penyelamat sedang berusaha ke lokasi itu melalui darat.
Menurutnya jika helikopter pengawal pantai dapat terbang di tengah keadaan cuaca buruk, saki baki anak kapal boleh diselamatkan.
Kapal Angkatan Tentera Laut juga dalam perjalanan untuk membantu misi mencari dan menyelamat, katanya.
Menurut Guner anak kapal yang diselamatkan berada dalam keadaan sihat.
Kementerian Pengangkutan dan Infrastruktur dalam satu kenyataan berkata kapal itu terbelah dua dan tenggelam di kawasan ia berlabuh pada 17 Januari, 12.35 tengah hari. Ia berlabuh pada 15 Januari di kawasan pentadbiran pelabuhan Bartin ekoran cuaca buruk.
Menurut kenyataan itu, Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Utama di bawah kementerian menghubungi pegawai syarikat perkapalan di Ukraine dan dimaklumkan 12 kru berada di dalam kapal.
Arvin dalam perjalanan ke Pelabuhan Burgas di Bulgaria sebelum kemalangan.
Kereta api kargo China-Eropah bantu usaha perangi pandemik