Tok Mat sah cabar Abdul Halim jawatan presiden ASTAF


Datuk Seri Ahmad Ismail

17/02/2021 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail mengesahkan akan mencabar Datuk Abdul Halim Kader bagi merebut jawatan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi penggal 2021-2025.

Beliau yang juga Timbalan Presiden ASTAF bagi sesi 2016-2021 berkata pada awalnya tidak berhasrat untuk bertanding kerana mahu memberi fokus kepada pembangunan sepak takraw negara dan memberi laluan kepada Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES) Mohd Nasri Haron.



Namun, atas pendirian mahu melihat perubahan pada pucuk pimpinan ASTAF, Ahmad atau mesra dengan panggilan Tok Mat memutuskan untuk menawarkan diri bertanding jawatan itu pada pemilihan 1 Mac ini.

“Bagi saya dan kita di PSM, tidak kira siapapun bertanding, yang penting kepimpinan harus diubah kalau hendak lihat sepak takraw maju dan betul-betul hidup di peringkat Asia. Setakat ini, saya menawarkan diri, tetapi sekiranya ramai dah mengenali dan beri sokongan kepada Nasri, saya sedia menarik diri,” katanya pada sidang media semalam.

Ahmad berkata selain beliau, Ahli Majlis ASTAF dan Setiausaha Agung PSM Datuk Abidullah Salleh bakal bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden dan Ahli Majlis PSM Yusoff Ali pula akan merebut jawatan Ahli Majlis ASTAF manakala Naib Presiden Datuk Mohd Sumali Reduan tidak mempertahankan jawatannya.

Sementara itu, Abdul Halim ketika dihubungi berkata beliau menyambut baik pertandingan bagi mempertahankan jawatan nombor satu itu dan berharap ahli gabungan dari 25 negara akan membuat keputusan tepat.



Abdul Halim yang berasal dari Singapura turut menyandang jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), telah menerajui kerusi nombor satu ASTAF lebih sedekad.

Mohd Nasri sebelum ini berjaya mengenepikan Abdul Halim ketika pemilihan jawatan Presiden PERSES pada 2019.

Pemilihan sempena kongres kali ini berlangsung pada 1 Mac akan diadakan secara elektronik bagi memilih Presiden, dua Timbalan Presiden, lapan Naib Presiden dan 10 ahli majlis.

Faisal Halim sertai TFC



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button