Enam termasuk majikan ditahan, gaji warga asing tanpa permit
17/02/2021 04:17 PM
BUTTERWORTH, 17 Feb — Lima warga asing serta seorang pengusaha restoran dim sum di Jalan Raja Uda di sini ditahan selepas didapati menggaji pekerja asing tanpa permit sah dalam operasi bersepadu melibatkan beberapa pihak berkuasa hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata warga asing yang ditahan merupakan pekerja di restoran terbabit iaitu empat lelaki warga Myanmar berusia 21 hingga 36 tahun dan seorang wanita Indonesia berusia 46 tahun atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja.
“Terdahulu, berlaku kekecohan semasa operasi itu apabila wanita warga Indonesia terbabit cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa. Dia berjalan keluar tanpa kasut dari restoran sebelum berlari laju menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengejarnya dan hanya dapat menahan dia kira-kira 100 meter dari premis.
“Wanita itu juga bertindak meronta-ronta semasa ditahan selain cuba merempuh pihak berkuasa dengan tangan bergari kerana masih mahu melepaskan diri,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.
Beliau berkata turut ditahan ialah majikan mereka, seorang lelaki berusia 29 tahun, bagi membantu siasatan kes mengupah pekerja asing tanpa permit sah.
Selain itu, Noorzainy berkata dalam operasi hari ini pihaknya turut membongkar kegiatan judi mahjung tidak berlesen yang dijalankan di sebuah rumah sewa serta menahan lapan individu termasuk dua wanita, berusia antara 44 hingga 60 tahun yang leka bermain mahjung.
Tindakan penganjur yang berusia 60 tahun meletakkan lima ekor anjing, iaitu dua di bahagian depan dan tiga ekor di belakang rumah, gagal mengaburi mata pihak berkuasa, katanya, menambah siasatan awal mendapati penganjur membuka kegiatan judi itu sejak Khamis lalu.
“Alasan yang diberikan mereka ketika ditahan ialah bosan berada di rumah sebab itu datang bermain mahjung dan saya percaya, mereka ke sini setiap hari untuk bermain mahjung sejak sehari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina lalu,” katanya.
Beliau berkata dalam operasi bermula 10 pagi hingga 2 petang itu, pihak berkuasa memeriksa lebih 30 premis perniagaan di lima kawasan iaitu Kepala Batas, Mak Mandin, Butterworth, Tasek Gelugor serta Sungai Dua dan mendapati 99 peratus daripada mereka mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan.
Seramai 96 pegawai dan anggota polis serta penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Kementerian Kesihatan terlibat dalam operasi itu.