ISU PERSENDA GURU – YUSUF LETAK JAWATAN SEBAGAI DJ HITZ FM SARAWAK
Susulan kontroversi mempersenda bahasa Inggeris seorang guru di aplikasi TikTok, DJ Yusuf Yusuf atau nama penuhnya Muhammad Yusuf Shukri, 29, meletak jawatan sebagai penyampai radio Hitz FM Sarawak, berkuat kuasa, semalam. Perletakan jawatan itu disahkan pihak pengurusan Hitz FM Sarawak menerusi hantaran di laman Instagram.
“Hitz FM tetap komited untuk terus memberi maklumat dan hiburan kepada rakyat Malaysia. Berikutan siasatan dalaman kami mengenai kontroversi baru-baru ini yang membabitkan salah seorang penyampai kami, pihak kami sudah menerima perletakan jawatannya berkuatkuasa 22 Februari 2021,” tulisnya.
Terdahulu, tindakan Yusuf memuat naik video di aplikasi TikTok mempersenda cara sebutan bahasa Inggeris seorang guru wanita apabila memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah. mencetuskan kemarahan netizen yang turut mendesak stesen radio Hitz FM Sarawak memecat DJ tersebut.
Klik untuk gambar besar
Susulan itu, netizen telah meluahkan rasa marah dan mengecam Yusuf, selain turut mendesak stesen radio Hitz FM Sarawak memecat DJ tersebut. Maka dari itu, Yusof digantung tugas serta-merta menerusi kenyataan dikeluarkan wakil pengurusan stesen radio itu pada 19 Februari lalu.
Yusuf bagaimanapun tampil membuat permohonan maaf di Instagram TV pada 20 Februari lalu. Menerusi video permohonan maaf itu, Yusuf turut meminta bantuan secara terbuka supaya dia dapat dihubungkan dengan guru berkenaan bagi membolehkannya memohon maaf atas sikap yang ditunjukkan.
“Perkara pertama adalah saya dengan seikhlas hati memohon maaf kerana mempersenda guru terbabit. Ia langsung tidak lucu dan saya tak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk membenarkan sesuatu sikap buruk,” katanya.
PERSENDA GURU – YUSUF HITZ FM SARAWAK MOHON MAAF, DIGANTUNG TUGAS [VIDEO]