Cerita Seram Santai – Nara Kurnia (part 2)

Nara Kurnia

“A..Amirr..jom balik!” ajak Nara.
“Eh, kejap la. Belum habis lagi sup aku,” bantah Amir. Nara diam. Cuba mengawal ketakutannya.

Nara memberanikan diri memandang ke arah makhluk yang berpaut pada kaki gadis itu sekali lagi. Ternyata ianya sudah tidak kelihatan. Nara menarik nafas lega.



Amir masih menghirup baki kuah sup yang bersisa. Gadis bertudung litup merah jambu itu sudah mula bangun. Bapanya sedang membayar harga makanan dan minuman.

Nara memerhatikan sahaja mereka beredar. Ternyata amat payah bagi gadis itu untuk berjalan. Ibu dan ayahnya memimpin di kiri dan kanan.

Belas Kasihan

Entah mengapa Nara berasa amat belas melihat gadis itu. Nara pasti mereka tidak mengetahui tentang makhluk yang dilihatnya berpaut di kaki gadis itu.

“Hoi, Nara! Bukan main asyik lagi kau tenung awek tu. Dah berkenan ke?” Amir menyergah sambil mengelap bibir yang berminyak.



“Eh, tak adalah. Aku rasa macam kenallah dengan awek tu,” Nara berdalih.
“Ah, kau ni. Asal awek aje macam kenal. Asal awek aje macam kenal. Masalahnya awek tu macam kenal kau ke?” Amir mengusik.

Nara hanya tersenyum. Malas hendak bercakap lagi. Bimbang terus digiat oleh Amir.
Nara hanya memandang kereta Proton Wira kelabu yang membawa gadis itu pergi.

Entah mengapa hatinya berasa sayu. Seolah-olah dapat merasakan penderitaan yang ditanggung.

“Dah jom balik. Dah nak Maghrib ni. Aku dah bayar dah,” ajak Amir.
Pelik juga Amir melihat kelakuan Nara petang ini. Tiba-tiba jadi pendiam dan kerap termenung. Apa agaknya yang mengganggu fikiran Nara?



“Amir, kita singgah solat maghrib kat masjid tepi jejantas tu ya. Aku malas nak balik rumah dulu,” kata Nara.
“Hah, ye lah,” Amir bersetuju.
Matahari sudah hampir terbenam. Beberapa minit lagi azan Maghrib pasti berkumandang. Nara membelokkan kereta Myvinya menuju ke perkarangan masjid.

Mengelamun Jauh

Tuiiittt tuiitttt!
‘Alarm’ keretanya berbunyi. Nara dan Amir beriringan menuju ke tangga masjid.
“Astaghfirullahalazimmm!” Nara beristigfar tiba-tiba.
“Eh, kau kenapa?” Amir terperanjat dan menoleh ke arah Nara yang tiba-tiba menghentikan langkah.
“Err..tak a..ada a..apa-apa. Aku tersadung kaki sendiri tadi,” Nara memberi alasan.

“Ish, kau ni macam-macamlah. Eh, aku ke tandas dulu. Nanti kita jumpa kat atas,” kata Amir yang sudah laju melangkah menuju ke arah tandas di bahagian kanan masjid.

Menggeletar

Nara mengangguk. Kakinya mulai rasa bergetar. Di tepi tangga masjid, sekali lagi Nara melihat makhluk berbaju putih dan berambut panjang sedang bediri sambil merenung dirinya.



Nara cepat-cepat membelok ke tempat mengambil wudhuk. Beristighfar beberapa kali di dalam hati untuk menenangkan diri.

Setelah berasa sedikit tenang, Nara mula membasahkan tangan.
“Bismillahirrahmanirrahim…”
Nara melalui tangga bahagian dalam untuk menuju ke ruang solat. Tidak dia berani untuk menggunakan tangga hadapan masjid di mana makhluk itu sedang terpacak berdiri.

Setelah menunaikan solat sunat Tahyyatul Masjid, Nara duduk sebentar menunggu azan dilaungkan. Ketika itu barulah Nara perasan, lelaki yang duduk di sebelahnya ialah bapa kepada gadis yang dilihatnya di medan selera tadi.


Lelaki itu menunduk sambil memejamkan mata. Mulutnya terkumat-kamit sambil jarinya laju membilang butir tasbih kecil berwarna hijau zamrud. Wajahnya kelihatan bersedih.
Tidak lama kemudian Amir tiba dan mengambil tempat di sebelah Nara. Setelah berakhirnya azan, saf dirapatkan. Solat Maghrib disempurnakan.



Perkenalan Nara

Habis bacaan doa, para jemaah saling bersalaman. Ketika lelaki tua itu bersalaman dengan Nara, tiba-tiba dia menegur.
“Eh, anak ni yang ada di medan selera tadi kan?”
“Ya, pakcik,” Nara mengiyakan sambil melemparkan senyuman mesra.
Amir turut membongkok sedikit dan bersalaman dengan lelaki itu.
“Anak duduk dekat-dekat sini ke?” tanya lelaki itu.

“Ya, pakcik. Rumah saya dekat sahaja dari sini. Di taman sebelah UTHM tu saja,” kata Nara.
“Pakcik dari mana?” Nara pula bertanya beramah mesra.

“Pakcik dari Kampung Sahri, Simpang Renggam. Pakcik datang sini hendak mengubatkan anak pakcik,” kata lelaki itu yang tiba-tiba nada suaranya berubah sayu seiring dengan kesayuan di wajahnya.
“Anak pakcik sakit apa?” Amir tiba-tiba mencelah. “Hmm…..”lelaki itu mengeluh dan diam seketika.

Saya Bantu Boleh?

“Entahlah nak. Pakcik pun tak tahu. Sudah dua tahun dia sakit di kaki. Susah hendak berjalan. Pakcik kasihan melihat dia merintih kesakitan setiap hari. Sudah puas pakcik berubat ke sana ke mari. Masih belum berjaya. Bila ke hospital dan klinik, doktor kata tiada sakit apa-apa,” adu lelaki itu.



“Pakcik, maaf. Bagaimana kalau saya cuba bantu?” tiba-tiba terkeluar pertanyaan itu dari mulut Nara.
Nara sendiri hairan, bagaimana dia tiba-tiba boleh menyuarakan perkara itu. Seumur hidup dia tidak pernah mengubatkan orang. Tetapi kali ini seperti disuruh-suruh pula untuk membantu lelaki di hadapannya ini.

“Anak boleh mengubat?” tanya lelaki itu dengan wajah tidak berapa yakin.
“Bukan begitu pakcik. Saya bukan bomoh. Tapi saya rasa saya tahu kenapa anak pakcik sakit.

Saya ada melihat sesuatu yang pelik tadi. Itu pun kalau pakcik sudi dan izinkan,” Nara tiba-tiba berasa malu kerana bimbang dianggap saja memandai-mandai dan cuba mengambil peluang.

Senyum

Lelaki itu tersenyum.

“Baiklah nak. Tentu ada sebab mengapa anak bertemu dengan pakcik dan pakcik tiba-tiba bercerita soal anak pakcik dengan orang yang baru pakcik jumpa. Jika anak sudi untuk membantu, ambil nombor telefon pakcik. Cuba dail. Nanti pakcik mesejkan alamat rumah pakcik,” kata lelaki itu.

Nara menarik nafas lega. Nara yakin lelaki itu dapat melihat kejujuran dan keikhlasannya untuk membantu.
“Bang, dah siap ke? Mari kita gerak,” tiba-tiba terdengar satu suara memanggil dari arah pintu utama masjid.

Kelihatan isteri dan gadis bertudung merah jambu itu sedang menanti ketua keluarga mereka.
“Baiklah nak. Pakcik gerak dulu ya. In shaa Allah ada rezeki kita berjumpa lagi,” kata lelaki itu seraya bangun dan bersalaman dengan Nara dan Amir.

Mata Nara mengekor pergerakan gadis manis itu. Ternyata dia boleh berjalan dengan baik di dalam masjid. Tetapi sebaik sahaja dia menuruni tangga masjid, dia sudah terhencut-hencut dan memegang kakinya. Nara dapat melihat makhluk itu sudah berpaut di kaki gadis itu semula.

“Apa hal tiba-tiba kau beria nak tolong pakcik tu Nara? Tak pernah pulak aku tahu kau pandai mengubat. Cuba kau beritahu aku betul-betul, kau nak mengubat ke nak mengurat?” Amir bertanya sambil tersengih-sengih.

Nara Terdiam

Nara diam dan duduk di birai katil. Dia memandang wajah Amir yang sudah terlentang di atas katilnya sambil memeluk bantal golek.

“Aku sendiri pun tak tahu kenapa hati aku macam didorong-dorong untuk menolong pakcik tu. Tapi niat aku ikhlas. Sebenarnya aku ada ternampak….”
Belum sempat Nara menghabiskan ayat, tiba-tiba terdengar pintu rumahnya diketuk. Nara memandang jam di dinding. Sudah pukul 12.00 tengah malam.
“Eh, Azri dan Badrul petang tadi balik kampung kan? Siapa pulak yang ketuk pintu? Kau tak kunci pintu pagar ke? Nara bertanya.

“Eh, aku dah kunci tadi. Agaknya Azri dan Badrul tak jadi balik kampung kot?” Amir menebak.
“Kalau dia orang, kan masing-masing ada kunci?” soal Nara semula.
Amir mengangkat-angkat bahu.

Siapa Pula?

Tokkkk…tokkk…tokkkkkk!
Sekali lagi terdengar pintu rumah diketuk dengan kuat. Nara dan Amir melangkah perlahan-lahan menuju ke arah pintu.
Kreeeeeeeekkkkkkk!
Nara membuka pintu perlahan-lahan. Matanya memandang ke sana ke mari. Tiada sesiapa di luar. Pintu ditutup semula.
“Siapa?” tanya Amir.
“Entah. Tak ada sesiapa pun,” balas Nara.

“Orang ketuk rumah jiran kita agaknya. Sudahlah, aku nak tidur dulu. Mengantuk dah,” kata Amir lalu terus masuk ke bilik. Nara masih tercegat berdiri. Hatinya tiba-tiba rasa berdebar. Dia yakin bunyi ketukan itu bukan dari rumah jiran.

Nara menuju ke suis utama untuk menutup lampu ruang tamu. Ketika jarinya hendak mengetik suis, tiba terdengar pula seperti ketukan menggunakan kuku di luar kaca tingkap yang bertutupkan langsir berwarna biru tua.

Tukkkk..tukkkkkkk!
Nara mendekatkan telinganya ke arah tingkap. Cuba untuk memastikan bunyi yang didengar.
“Jangan ganggu urusan akuuu!” tiba-tiba terdengar suara yang sangat menyeramkan.
“Allaaaahhhhhh!” Nara terkejut.

Nara berlari masuk ke dalam bilik dan terus menutup pintu. Berlari memegang dadanya yang terasa berdegup dengan laju. Nafasnya tercungap-cungap. Dahinya berpeluh dingin.
Bersambung….

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button